SHAH ALAM - Nestlé Malaysia berjaya mengurangkan emisi gas rumah hijau (GHG) sebanyak 31 peratus berbanding nilai asas pada tahun 2018 sekali gus melepasi sasaran interim pengurangan 20 peratus yang ditetapkan bagi tahun 2025.
Pencapaian mencerminkan usaha berterusan di seluruh operasi dan rantaian nilai syarikat, termasuk peralihan kepada tenaga elektrik boleh diperbaharui 100 peratus, langkah meningkatkan kecekapan pengeluaran, amalan pertanian regeneratif, pemerolehan lebih lestari dan inisiatif pembungkusan kitaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, kejayaan mencerminkan komitmen pasukan dan rakan kerjasama di seluruh negara namun masih banyak perlu dilakukan ke arah Emisi Bersih Sifar.
"Kelestarian membentuk sebahagian penting daripada cara kami mencipta nilai bersama, iaitu daripada tenaga yang membekalkan kuasa kepada kilang dan bahan yang kami perolehi kepada pembungkusan, pemuliharaan ekosistem dan program komuniti.
"Kami akan terus melabur, mempelopori inovasi dan berganding bahu dengan rakan kerjasama untuk mengurangkan kesan alam sekitar kami dan membina masa depan lebih lestari untuk negara,” katanya pada majlis Nestlé: Sustainability Connected pada Isnin.
Pencapaian itu turut selari dengan agenda perubahan iklim menerusi penyerahan Sumbangan Ditentukan Negara ketiga (NDC 3.0) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Oktober 2025.
Mengalu-alukan sumbangan Nestlé Malaysia ke arah matlamat iklim negara, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pencapaian sasaran iklim negara memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
“Dengan penyerahan NDC 3.0 Malaysia, kita telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk memperkukuh komitmen negara terhadap tindakan iklim serta meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi impak perubahan iklim.
“Inisiatif seperti yang dilaksanakan Nestlé Malaysia membuktikan pengurangan pelepasan karbon boleh diintegrasikan dengan berkesan dalam operasi perniagaan, sambil menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Penolong Naib Presiden Nestlé S.A. dan Ketua Kelestarian bagi Zon Asia, Oceania & Afrika, Katarzyna Grzybowska berkata, kemajuan Malaysia membuktikan sasaran kelestarian global boleh diterjemahkan menerusi tindakan tempatan yang berfokus.
“Segala tindakan yang diambil untuk mencapai kemajuan ini amat menggalakkan, daripada melaksanakan transformasi operasi dan pembungkusan kepada penglibatan komuniti.
“Semua pengalaman yang ditimba memberikan pengajaran berharga sambil kami terus memenuhi komitmen kelestarian merentasi pasaran,” katanya.
Antara inisiatif penting termasuk Nestlé KITAR, sebagai platform baharu bagi Projek SAVE (Asingkan, Elakkan, Hargai, Didik) yang telah memulihkan dan mengitar semula 50,000 tan bahan bercampur kering, termasuk 32,000 tan plastik.
Nestlé Malaysia turut melaksanakan program MILO Energy for Good di lebih 200 sekolah serta meneruskan Projek RELeaf dengan sasaran menanam tiga juta lagi pokok menjelang 2030.
Selepas melepasi sasaran interim 2025, syarikat kini menyasarkan pengurangan emisi GHG sebanyak 50 peratus menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada laluan mencapai Emisi Bersih Sifar menjelang 2050.