Ejen haram bekal pekerja asing tanpa izin diberkas

Iklan
Antara individu yang ditahan JIM dalam operasi khas di Bandar Mahkota Cheras pada Sabtu.

PUTRAJAYA – Kegiatan sindiket membekalkan pekerja asing tanpa izin kepada majikan terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai ejen haram dalam satu operasi khas di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Operasi yang dijalankan pada 3.50 petang, Sabtu itu hasil risikan susulan tindakan bersepadu JIM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi itu, JIM turut menahan tujuh lagi warga Myanmar yang dipercayai sedang menunggu untuk diserahkan kepada majikan.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan tujuh wanita berusia antara 29 hingga 56 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Zakaria berkata, siasatan awal mendapati wanita yang dipercayai menjadi ejen haram itu mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang menjadi dalang utama sindiket dan telah ditahan SPRM menerusi Op Crack bersama JIM.

"Hasil semakan mendapati suspek utama memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor perkhidmatan, manakala beberapa individu lain didapati tinggal lebih masa dan selebihnya tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini," katanya.

Iklan

Zakaria berkata, pasukan operasi turut menyita beberapa pasport Myanmar, salinan PLKS yang dipercayai palsu serta pelbagai dokumen berkaitan pembekalan pekerja asing.

"Sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang dipercayai digunakan sindiket bagi menjalankan kegiatan tersebut turut disita," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket dipercayai menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS yang disyaki dikeluarkan secara tidak sah melalui sistem pengurusan pekerja asing JIM yang telah diceroboh.

"Sindiket itu menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai pas sah atau tinggal lebih masa di negara ini sebelum membekalkan mereka kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja.

"Mereka dipercayai mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan telah menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini," katanya.

Menurutnya, suspek wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

"Empat wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki dan dua wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," ujarnya.