10 hari di Bromo-Bali buka dimensi baharu dunia fotografi

Iklan
Mohd Razif (dua, kiri) bersama rakan-rakan foto dari negara lain yang mengikuti latihan intensif di Indonesia.

KUALA LUMPUR – Sepuluh hari merentas Bromo dan Bali, Indonesia bukan sekadar pengalaman mengembara buat Mohd Razif Rahim, sebaliknya menjadi ruang untuk beliau menyelami sisi fotografi yang lebih mendalam.

Peluang mengikuti latihan fotografi profesional menerusi “Bengkel Penguasaan Fotografi: Pengembaraan Merentasi Bromo-Bali (Workshop in Mastering Art Photography: A Journey Through Bromo-Bali)” itu membuka perspektif baharu kepada Mohd Razif Rahim atau lebih mesra disapa Ajib dalam melihat sesuatu subjek sebelum diterjemahkan menerusi lensa kamera.

Iklan
Iklan

Lebih bermakna, latihan berkenaan memberi peluang kepada beliau menimba ilmu secara langsung daripada jurufoto terkenal Indonesia, Rarindra Prakarsa, yang dikenali menerusi karya-karya yang mengetengahkan elemen kemanusiaan serta hubungan antara manusia, budaya dan alam sekitar.

Menurut Ajib yang juga merupakan jurufoto Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), pengalaman selama 10 hari itu memberikan pendedahan yang bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal, malah mengubah cara beliau melihat subjek, cahaya dan cerita di sebalik setiap gambar yang dirakam.

Iklan

“Saya begitu teruja dengan ilmu yang dipelajari sepanjang program itu berlangsung, terutamanya belajar pelbagai aspek teknikal kreatif, antaranya tetapan kamera yang betul supaya mendapatkan momen yang dimahukan dan kawalan pencahayaan yang memberikan nilai estetika tersendiri pada setiap foto yang diambil.

“Selain itu, saya juga belajar bagaimana untuk mendapatkan komposisi ‘seni melihat’ (art of seeing) yang lebih menarik dan memberikan impak bagi menghasilkan gambar menjadi lebih hidup, menarik dan bernilai komersial,” katanya.

Iklan

Mohd Razif mengakui dia begitu teruja dengan ilmu yang dipelajari sepanjang program itu berlangsung, terutamanya belajar pelbagai aspek teknikal kreatif,

Menurut Ajib, Rarindra turut berkongsi bagaimana penduduk tempatan menggunakan budaya dan cara hidup mereka sebagai satu produk pelancongan yang menarik menerusi fotografi.

“Rarindra juga memberi pendedahan tentang bagaimana penduduk tempatan menjual budaya dan cara hidup mereka supaya menjadi satu produk pelancongan yang sangat menarik hanya melalui fotografi,” jelasnya.

Latihan berkenaan merupakan program yang dilaksanakan di bawah tajaan Program Inisiatif Pemerkasaan Kompetensi Latihan Tenaga Pengajar Institut Latihan Awam (IMPAK) anjuran Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Inisiatif IMPAK pula merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan Malaysia bagi meningkatkan keupayaan tenaga pengajar Institut Latihan Awam (ILA), khususnya IPPTAR, melalui pendedahan kepada teknologi fotografi terkini, pendekatan pedagogi moden dan amalan kerja pemain industri fotografi terbaik di peringkat antarabangsa.

Bagi Ajib, latihan fotografi profesional itu juga memberi penekanan kepada latihan intensif secara teori dan praktikal, termasuk teknik pencahayaan dramatik, gaya sinematik serta penggunaan cahaya secara artistik bagi menghasilkan visual berkualiti tinggi.

“Rarindra Prakarsa dikenali dengan karya yang menonjolkan elemen kemanusiaan dan hubungan antara manusia, budaya dan alam sekitar.

“Pendekatan fotografi beliau yang puitis dan beremosi memberikan perspektif baharu kepada peserta dalam menghasilkan karya visual yang lebih mendalam dan bermakna.

“Pengalaman menyertai bengkel tersebut membuka dimensi baharu kepada saya terhadap bidang fotografi. Program ini tidak sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, malah mengubah cara saya melihat subjek dan cahaya dalam fotografi.

“Pendekatan yang digunakan sangat artistik dan memberi inspirasi untuk menghasilkan karya yang lebih bercerita dan beremosi,” terang Ajib yang telah hampir 15 tahun terlibat dalam dunia fotografi profesional.

Sepanjang berada di Bromo dan Bali, para peserta diberikan pelbagai tugasan yang memerlukan mereka bukan sekadar mencari gambar yang cantik, tetapi memahami cerita dan kehidupan di sebalik subjek yang dirakam.

Pengalaman merakam visual dalam persekitaran unik seperti Gunung Bromo dan Bali turut membantu meningkatkan keyakinan serta kreativiti Ajib dalam menghasilkan visual berkualiti tinggi.

Sepanjang berada di Bromo dan Bali, beliau bersama peserta lain diberikan pelbagai tugasan yang memerlukan mereka bukan sekadar mencari gambar yang cantik, tetapi memahami cerita dan kehidupan di sebalik subjek yang dirakam.

Antara tugasan tersebut ialah merakam kehidupan penduduk tempatan di Semeru yang terkenal dengan aktiviti ekonomi menggunakan kuda sebagai pengangkutan harian, dengan latar matahari terbit dan terbenam.

Peserta turut ditugaskan merakam momen sebuah keluarga di Dapur Usang bagi menghayati kehidupan serba kekurangan, namun tetap mampu tersenyum dan meraikan detik-detik bahagia bersama ahli keluarga ketika memasak.

Ketika di Bali pula, mereka berpeluang merakam keindahan suasana anak-anak gadis penduduk tempatan sedang membasuh kain dengan latar air terjun yang begitu indah.

Bagi tugasan ‘human interest’, setiap jurufoto yang terlibat perlu merakam aktiviti harian eko-budaya penduduk tempatan di candi di Kintamani selain produk pembuatan keris secara tradisional dan tarian Tari Sanghyang Jaran.

Bagi tugasan terakhir kursus berkenaan, Rarindra turut memberi peluang kepada peserta merakam pengalaman warga emas di Bali yang mengusahakan sawah padi menggunakan kaedah tradisional.

“Sepanjang 10 hari di Bali dan Bromo, saya dan para peserta lain diberi pelbagai tugasan yang mengajar kami untuk melihat sesuatu subjek dengan perspektif berbeza.

“Bukan sekadar merakam apa yang ada di hadapan kamera, tetapi memahami cerita, emosi dan kehidupan manusia yang ingin disampaikan melalui setiap gambar,” jelas Ajibl.