PELANTIKAN Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan baharu hadir pada saat negeri beradat itu memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja berwibawa dari sudut pentadbiran.
Tetapi juga memahami keunikan sistem pemerintahan beraja dan Adat Perpatih yang menjadi identiti Negeri Sembilan.
Selepas berlaku ketidaktentuan politik dan polemik membabitkan institusi adat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu tekad dalam mengutamakan institusi diraja, mempertahankan adat dan menjunjung mandat rakyat.
Ini boleh dilihat sebagai mesej bahawa pentadbiran baharu mahu mengembalikan kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Komitmen tersebut bukan sekadar ungkapan simbolik.
Ini kerana Negeri Sembilan mempunyai struktur pemerintahan yang unik kerana institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat memainkan peranan penting dalam sistem.
Justeru, hubungan harmoni antara kerajaan negeri dengan institusi diraja menjadi prasyarat kepada konteks kestabilan pentadbiran serta kelancaran perjalanan.
Kemelut yang pernah berlaku sebelum ini turut memperlihatkan betapa pentingnya setiap proses pentadbiran menghormati kerangka perlembagaan dan adat negeri.
Bagaimanapun, ukuran sebenar kejayaan Ismail bukan terletak pada retorik mengenai adat atau institusi diraja semata-mata.
Rakyat akhirnya akan menilai sejauh mana kerajaan negeri mampu menterjemahkan mandat yang diberikan kepada pencapaian nyata.
Antara lain pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti, pembangunan luar bandar, pendidikan dan kesejahteraan sosial.
Tekad memuliakan institusi diraja juga perlu bergerak seiring dengan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Institusi yang dihormati akan menjadi lebih kukuh apabila kerajaan negeri memperlihatkan integriti, ketelusan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengheret institusi diraja ke dalam polemik politik.
Apa pun, pelantikan Ismail pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) membuka lembaran baharu buat Negeri Sembilan.
Jika beliau benar-benar mampu mengimbangi penghormatan terhadap institusi diraja, pemeliharaan adat serta pelaksanaan dasar yang memenuhi aspirasi rakyat.
Maka, pentadbiran baharu ini berpotensi menjadi model tentang bagaimana tradisi dan kemajuan boleh bergerak seiring demi mencapai kemakmuran negeri.