KUANTAN – Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menganggap perlantikan sebagai Orang Besar Berempat Negeri Pahang bergelar Orang Kaya Indera Shahbandar sebagai satu amanah besar yang perlu digalasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu turut menzahirkan rasa syukur dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pengurniaan gelaran dan pelantikan berkenaan.
"Patik menjunjung tinggi titah dan kepercayaan yang dikurniakan dengan penuh taat setia, keikhlasan serta rasa tanggungjawab ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, Negeri Pahang Darul Makmur dan seluruh rakyat.
"Patik memohon doa daripada semua agar diberikan kekuatan dan petunjuk oleh ALLAH SWT untuk menggalas amanah ini dengan sebaik-baiknya." katanya dalam satu hantaran pada Sabtu.
Sebelum ini, Pahang Media melaporkan Institusi Orang Besar Negeri Pahang merupakan warisan Kesultanan Melayu Pahang yang menjadi lambang kedaulatan, kesetiaan serta kesinambungan adat istiadat negeri sejak zaman-berzaman.
Menurut laporan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa meskipun sistem pentadbiran moden telah berubah, institusi berkenaan kekal berperanan sebagai penjunjung adat istiadat Kesultanan Pahang, pemelihara warisan negeri serta penghubung yang mengukuhkan hubungan antara institusi diraja dengan rakyat.
Perlantikan itu diumumkan oleh Al- Sultan Abdullah Pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, Kuantan sekali gus mengisi kekosongan jawatan dalam Institusi Orang Besar Berempat Negeri Pahang.
Dalam kenyataan sama, Mohamad Nizar turut menadah tangan ke hadrat ALLAH SWT agar Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariahsentiasa dikurniakan keafiatan, dipanjangkan usia serta dilimpahi rahmat dan hidayah ALLAH SWT.
Beliau juga mendoakan agar Baginda berdua terus diberikan kekuatan untuk memayungi Negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh kebijaksanaan, kemakmuran dan kesejahteraan.