SEREMBAN – Kekalahan bukanlah penamat kepada perjuangan politik, apatah lagi apabila sesuatu pencapaian berjaya memecahkan persepsi yang telah lama terbina.
Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak apabila calon Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), P. Kumar, tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH)-DAP, namun berjaya mengelakkan kehilangan deposit.
P. Kumar memperoleh 2,011 undi berbanding penyandang daripada DAP, Chew Seh Yong, yang menang dengan 13,064 undi dan majoriti 11,053 undi.
Dalam pertandingan dua penjuru itu, beliau meraih kira-kira 13.3 peratus undi sah, melepasi ambang satu perlapan atau 12.5 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan deposit calon dilucutkan.
Walaupun angka tersebut masih jauh daripada mencabar kedudukan DAP di Lobak, ia membawa makna tersendiri apabila dibandingkan dengan keputusan PRN 2023.
Ketika itu, calon Perikatan Nasional (PN)-Gerakan, Ng Soon Lean, hanya memperoleh 853 undi, manakala Chew mengumpulkan 14,357 undi dengan majoriti 13,504 undi.
Ini bermakna sokongan kepada calon PN di Lobak meningkat sebanyak 1,158 undi dalam tempoh tiga tahun, iaitu lebih dua kali ganda berbanding pilihan raya lalu.
Pada masa sama, majoriti DAP berkurangan sebanyak 2,451 undi, daripada 13,504 kepada 11,053 undi.
Hakikatnya, peningkatan itu belum cukup untuk menggugat kubu kuat DAP namun, ia membuktikan bahawa Pas tidak bertanding sekadar memenuhi syarat demokrasi atau melengkapkan senarai calon.
Sebaliknya, parti itu berjaya memperluaskan sokongan, memperkenalkan calon bukan Islam serta menembusi sedikit demi sedikit kawasan yang selama ini dianggap sukar ditembusi.
Politik Islam diterjemahkan melalui tindakan
Pencalonan P. Kumar melalui DHPP turut memberi dimensi baharu kepada pendekatan politik Pas. Ia memperlihatkan bahawa politik Islam yang diperjuangkan parti itu tidak sekadar terhenti pada slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui kesediaan memberi ruang kepada masyarakat bukan Islam untuk bertanding, berkhidmat dan membawa suara rakyat dalam kerangka perjuangan yang berasaskan keadilan.
Pas sendiri sebelum ini menjelaskan bahawa pencalonan wakil DHPP di Lobak bukan bertujuan mengejar kemenangan jangka pendek.
Sebaliknya, ia merupakan strategi jangka panjang bagi memperkenalkan dasar parti, memperkukuh khidmat masyarakat serta membina kepercayaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Keputusan mempertaruhkan calon DHPP di kawasan yang diketahui merupakan kubu kuat DAP juga memperlihatkan keberanian politik.
Pas boleh memilih untuk bertanding di kawasan yang lebih selesa dari segi komposisi pengundi, namun parti itu memilih pendekatan berbeza dengan menghantar wakilnya ke kawasan bandar yang majoriti pengundinya bukan Melayu.
Lebih menarik, kepimpinan Pas tidak membiarkan calon DHPP bergerak bersendirian. Seluruh jentera parti, termasuk Dewan Muslimat Pas dan Dewan Ulamak Pas, digerakkan sepenuhnya walaupun menyedari laluan menuju kemenangan amat mencabar.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pa Pusat, Ana Mastura Ismail berkata, komitmen tersebut membuktikan bahawa perjuangan politik Islam dibina atas prinsip keadilan, amanah dan kesediaan bekerjasama demi kebaikan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
"Ada jentera Muslimat dari Perak datang berkampung selama dua minggu. Mereka berkorban masa, harta dan tenaga serta menanggung kerinduan kepada keluarga semata-mata untuk membantu kempen calon DHPP. Semua jentera memberikan komitmen yang jitu," katanya pada Ahad.
Pengorbanan itu lebih bermakna apabila mereka turun bekerja bukan di kawasan yang dijangka mudah dimenangi, sebaliknya di kerusi yang dikuasai kukuh oleh DAP.
Mereka tetap melaksanakan ziarah dari rumah ke rumah, menggerakkan Pusat Daerah Mengundi (PDM), mengurus logistik dan menyampaikan mesej parti kepada masyarakat setempat.
Pilihan raya sebagai medan dakwah
Menurut Ana Mastura, pilihan raya bukan sekadar pertandingan merebut kerusi, tetapi juga medan dakwah, pendidikan politik dan pembinaan hubungan dengan masyarakat.
Pendekatan itu katanya, selari dengan konsep siyasah syar'iyyah yang membenarkan kerjasama dengan bukan Islam dalam perkara yang membawa maslahat, selagi tidak melibatkan permusuhan terhadap Islam, kezaliman, pelanggaran perjanjian atau penggadaian prinsip agama.
Prinsip tersebut mempunyai asas yang kukuh dalam sirah Rasulullah SAW. Ketika peristiwa hijrah, Baginda menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan kerana sifat amanah dan kepakarannya.
Rasulullah SAW juga pernah menyertai Hilf al-Fudul, iaitu pakatan yang bertujuan mempertahankan keadilan dan membela golongan yang dizalimi.
"Justeru, penyertaan calon DHPP tidak seharusnya dilihat sebagai strategi kosmetik semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada usaha Pas membuktikan bahawa politik Islam mampu membuka ruang kerjasama dengan masyarakat bukan Islam tanpa menjejaskan prinsip serta identiti perjuangannya," katanya.
Pengorbanan jentera tidak wajar dipandang ringan
Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Seremban, Normah Suhor berkata, seluruh jentera menjalankan tugas dengan penuh kesedaran bahawa kempen merupakan amanah yang perlu disempurnakan, tanpa mengira besar atau kecil peluang kemenangan.
"Saya sendiri sanggup berulang-alik kira-kira 25 minit dari rumah setiap hari untuk bertugas di DUN Lobak bersama-sama jentera lain. Ini adalah amanah yang perlu kita laksanakan," katanya.
Sepanjang tempoh kempen, Muslimat Pas bersama jentera lain saling melengkapi dalam aktiviti ziarah, operasi PDM, penyelarasan logistik serta khidmat kepada pengundi.
Disiplin tersebut membuktikan bahawa kekuatan sesebuah parti bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi dimenangi, tetapi juga kesanggupan bekerja di kawasan yang sukar.
Kepimpinan Pas juga dilihat konsisten apabila tidak mengarahkan jentera menumpukan perhatian hanya kepada kerusi yang berpotensi dimenangi, sebaliknya calon DHPP di Lobak menerima sokongan yang setara dengan calon lain.
Pendekatan ini menghantar mesej bahawa calon bukan Islam bukan sekadar simbol ketika pilihan raya, sebaliknya diterima sebagai sebahagian daripada pasukan perjuangan.
Keputusan di Lobak tetap merupakan satu kekalahan dari sudut angka, namun peningkatan undi daripada 853 pada 2023 kepada 2,011 pada 2026, pengurangan majoriti DAP serta kejayaan mengelakkan kehilangan deposit merupakan perkembangan yang tidak boleh dipandang ringan.
Cabaran sebenar kini ialah memastikan gerak kerja tidak berakhir sebaik sahaja kempen tamat. Pas dan DHPP perlu terus mendekati masyarakat, memperkukuh khidmat kepada komuniti bukan Melayu serta menjawab pelbagai persepsi dan kebimbangan secara berterusan.
Jika usaha itu diteruskan secara konsisten, Lobak berpotensi menjadi makmal penting kepada pendekatan dakwah politik Pas.
Kemenangan mungkin belum menjadi milik parti itu pada kali ini, namun tembok persepsi mula menunjukkan rekahan, hubungan baharu berjaya dibina dan ruang untuk politik Islam yang lebih inklusif semakin terbuka.