TAIPING – Sebuah lori kontena 10 tan yang membawa muatan barangan pembelian dalam talian terbabas sebelum terjunam ke sungai dalam kejadian kemalangan di Kilometer 213.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jebong Lama di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.19 pagi itu, pemandu lori lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.40 pagi dan mendapati lori kontena berkenaan berada di dalam sungai.
"Ketua operasi kemudian melakukan penilaian di lokasi serta mengarahkan anggota membuat pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa naik ke tebing jalan sebelum diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Katanya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi dikawal pada jam 7.46 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.20 pagi. Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.