JMG siasat air Sungai Rui kembali tukar warna

Iklan
Saarani ketika menyampaikan ucapan selepas menyempurnakan perasmian KAMU 2026 di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

IPOH – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak sedang menjalankan kajian susulan berhubung aduan perubahan warna air Sungai Rui, Gerik yang dipercayai berlaku lagi sejak beberapa hari lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian berkenaan penting bagi menentukan sama ada perubahan warna air terbabit mempunyai kaitan dengan kandungan mineral atau bahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan air dan hidupan akuatik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, JMG telah turun ke lokasi berkenaan selama dua hari bagi menjalankan pemeriksaan dan dijangka mengemukakan maklumat hasil kajian kepada kerajaan negeri minggu depan.

“Seperti saya pernah sebut sebelum ini, kita telah memberi amanah kepada Pengarah JMG negeri untuk membuat sebarang pengumuman.

Iklan

"Bila datang lagi aduan ini, kita minta orang ramai jangan membuat kekecohan atau menyebabkan orang ramai rasa susah kerana JMG sudah turun untuk membuat kajian.

“Mereka akan maklumkan kepada kita dan kerajaan negeri akan membuat keputusan berdasarkan hasil kajian tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026 di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Iklan

Saarani berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan air sungai terbabit selamat digunakan serta ikan yang hidup di dalamnya selamat untuk dimakan.

Beliau berkata, perubahan warna air tidak semestinya menunjukkan pencemaran kerana ia boleh berlaku disebabkan tindak balas atau sebatian tertentu yang berkaitan dengan mineral.

“Warna air itu macam-macam boleh bertukar kerana ia berkaitan dengan sebatian antara mineral. Tetapi selagi ia selamat, itu yang paling penting.

“Kalau betul ada arsenik, kita kena ambil langkah. Kita pernah tutup dulu apabila arsenik menjadi masalah,” katanya.

Saarani pada masa sama meminta orang ramai tidak mengambil tindakan terburu-buru termasuk mengadakan demonstrasi sebelum hasil kajian JMG diperoleh.

Ditanya tempoh masa diperlukan JMG untuk memuktamadkan hasil kajian, Saarani berkata pihak jabatan berkenaan dijangka memberikan maklumat kepada kerajaan negeri minggu depan.

Terdahulu tular di media sosial mendakwa air Sungai Rui bertukar warna menjadi perang dan keruh selepas hujan lebat di hulu sungai berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan air Sungai Perak berhampiran Sungai Rui bertukar warna menjadi biru sekali gus mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai serta penduduk setempat terhadap kualiti air sungai berkenaan.

TAMAT