Masjid hampir 100 tahun jadi 'rumah ilmu' anak asnaf

Iklan
Anak yatim, asnaf, keluarga kurang berkemampuan termasuk kanak-kanak yang belum mengenal huruf dan masih terkial-kial membaca al-Quran diberikan peluang untuk belajar tanpa menjadikan kemampuan kewangan sebagai penghalang.

PASIR SALAK - Ketika banyak institusi pengajian al-Quran memilih pelajar yang sudah mengenal huruf dan mampu membaca, Pusat Pengajian Al-Quran Bidayatul Hidayah di sini membuka pintunya kepada golongan sebaliknya.

Anak yatim, asnaf, keluarga kurang berkemampuan termasuk kanak-kanak yang belum mengenal huruf dan masih terkial-kial membaca al-Quran diberikan peluang untuk belajar tanpa menjadikan kemampuan kewangan sebagai penghalang.

Iklan
Iklan

Lebih istimewa, pengajian itu berlangsung di bangunan Masjid Lama Pulau Tiga Kiri, Laman Hasanah yang berusia hampir 100 tahun, sekali gus menghidupkan kembali rumah ALLAH berkenaan sebagai pusat ilmu dan kebajikan masyarakat.

Pusat Pengajian Al-Quran Bidayatul Hidayah, Pasir Salak sudah beroperasi kira-kira lima tahun dan diwujudkan atas semangat khidmat, kebajikan dan usaha pendidikan al-Quran untuk dinikmati semua golongan.

Iklan

Ketua Pengurusan Khidmat Pusat Pengajian Al-Quran Bidayatul Hidayah (Laman Hasanah), Hasnul Anuar Jamaluddin berkata, madrasah berkenaan yang sudah beroperasi kira-kira lima tahun diwujudkan atas semangat khidmat, kebajikan dan usaha mengimarahkan masjid.

Menurut beliau, pendekatan yang dibawa pusat pengajian berkenaan adalah untuk memastikan pendidikan al-Quran dapat dinikmati semua golongan, khususnya mereka yang mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan pendidikan agama.

Iklan

"Jika ada anak yang belum mengenal huruf, belum pandai membaca al-Quran atau tidak mempunyai kemampuan membayar yuran, insya-ALLAH di sinilah mereka diberikan ruang dan peluang untuk belajar," katanya.

Ujar beliau, pada sebelah pagi, anak-anak berkenaan mengikuti pendidikan akademik di sekolah kebangsaan, manakala sebelah petang dan malam mereka kembali ke madrasah untuk mengikuti pengajian Iqra', al-Quran, fardu ain dan ilmu agama.

Tambahnya, pendekatan itu diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai pendidikan akademik, malah memiliki ilmu agama, akhlak serta kecintaan terhadap al-Quran.

Dalam pada itu, Hasnul Anuar memberitahu, dalam masa sama, pihaknya sedang giat membaik pulih bangunan Masjid Lama Pulau Tiga Kiri yang menjadi tempat anak-anak menimba ilmu itu.

"Alhamdulillah, fasa pertama membabitkan kerja membaik pulih bumbung kini hampir selesai.

"Seterusnya, kami berusaha melaksanakan fasa kedua iaitu pembinaan pagar di sekeliling kawasan masjid selain pendawaian elektrik baharu kerana pendawaian sedia ada sudah lama dan dikhuatiri membahayakan penghuni," katanya.

Pusat Pengajian Al-Quran Bidayatul Hidayah, Pasir Salak menyeru masyarakat, syarikat, pertubuhan serta orang ramai yang prihatin untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau memberitahu, pembinaan pagar amat diperlukan memandangkan kawasan masjid dan madrasah itu berhampiran Sungai Perak, selain faktor keselamatan anak-anak yang hadir mengikuti pengajian.

Sehubungan itu, Hasnul Anuar menyeru masyarakat, syarikat, pertubuhan serta orang ramai yang prihatin untuk bersama menyokong usaha berkenaan mengikut kemampuan masing-masing.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sedekah ke akaun Bank Islam Bidayatul Hidayah Resources, 0808 60100 50096.