'Saya dah tak malu lagi, ini soal ubat'

Iklan
Zahari kini bergantung dengan mesin oksigen di rumah sebagai rawatan pantas meredakan sesak nafas yang dialami

HULU LANGAT - Badan semakin lemah, kerap demam, sesak nafas dan penglihatan mula kabur antara derita yang dialami bekas wartawan serta penulis buku, Zahari Affandi, 79, yang disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Zahari atau nama sebenarnya Asari Ismail kini terpaksa bergantung kepada mesin oksigen di rumah selepas kesihatannya semakin merosot sejak beberapa bulan lalu.

Iklan
Iklan

Dalam pada itu, Zahari turut menghidap beberapa masalah kesihatan lain termasuk asma, kencing manis dan gastrik yang memerlukan pemantauan berterusan.

Menggunakan nama pena Nazir Usman dalam dunia penulisan, anak kelahiran Kampung Baru Pahi, Kuala Krai, Kelantan itu berkata, kanser yang dikesan sejak lima tahun lalu kini semakin serius sehingga menyebabkan banyak rutin hariannya terbatas.

Iklan

Menurutnya, keadaan bertambah buruk kerana sudah hampir lapan bulan tidak meneruskan rawatan dan pengambilan ubat khas akibat kekangan kewangan.

“Badan terlalu lemah, mata pun dah mula kabur dan tangan selalu kebas. Doktor kata kalau berterusan, ada risiko diserang strok.

Iklan

"Sekarang masih boleh berjalan perlahan, tetapi mudah penat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Haji Palil di sini pada Rabu.

Zahari ketika ditemui wartawan Sinar Harian di kediamannya di Kampung Haji Palil, Hulu Langat pada Rabu.

Menurutnya, penyakit yang dikesan pada tahap dua kira-kira lima tahun lalu pernah dirawat dengan radioterapi, namun rawatan tersebut tidak dapat diteruskan sehingga penyakit itu kini merebak ke tahap empat, yang disahkan sejak Disember tahun lalu.

Katanya, doktor memaklumkan setiap pesakit kanser memerlukan ubat yang berbeza mengikut kesesuaian tubuh, namun ubat yang berpotensi memberi kesan positif terhadap penyakitnya hanya boleh dikenal pasti melalui beberapa peringkat pemeriksaan di hospital swasta.

“Untuk pemeriksaan dan ubat permulaan sahaja sudah mencecah kira-kira RM6,000.

“Selepas itu pula saya perlu mengambil ubat setiap bulan dengan kos sekurang-kurangnya RM400 hingga RM500, belum termasuk kos rawatan lain,” katanya.

Tambah beliau, sejak tidak lagi mampu aktif menulis, beliau kehilangan punca pendapatan dan hanya bergantung kepada anak-anak.

“Saya bukan ada pencen, tak ada pendapatan tetap. Buku terakhir saya dicetak kira-kira dua tahun lalu, tetapi royalti tak banyak.

“Selama ini ada juga orang bantu sekali- sekala, tetapi tidak mencukupi untuk rawatan,” ujarnya.

Justeru, beliau mengakui sudah tidak lagi memikirkan tanggapan orang ramai sekiranya terpaksa menerima bantuan demi meneruskan rawatan.

“Saya dah tak malu lagi. Orang nak kata saya minta sedekah atau apa, saya reda sebab ini soal ubat.

“Saya cuma tak sanggup terus menyusahkan anak-anak kerana mereka pun ada keluarga dan tanggungjawab masing-masing, malah ada yang masih belajar.

“Kadang-kadang apabila sakit pada waktu malam, sakitnya memang tidak dapat digambarkan. Sampai terlintas, lebih baik mati daripada menanggung kesakitan seperti ini,” katanya.

Zahari Affandi merupakan antara novelis era 1970-an yang sangat aktif dan pernah menerbitkan 49 buah novel.

Antara novelnya yang terkenal ialah Bulan Merah di Tiga Kuala (1976), Kunang-Kunang (1979) dan Pelabuhan Yang Ditinggalkan (1980).

Antara novelnya yang terkenal ialah Bulan Merah di Tiga Kuala (1976), Kunang-Kunang (1979) dan Pelabuhan Yang Ditinggalkan (1980).

Selain itu, beliau turut menghasilkan banyak karya penulisan yang menerima Hadiah Karya Sastera.

Beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu sehingga 1983 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Pengarang Mingguan Malaysia.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarang Edisi Ahad akhbar Harian Nasional pada 1984 sebelum menubuhkan Syarikat Prodescom Sdn Bhd di Taman Melawati, Setapak yang menjalankan perniagaan pengiklanan dan reka bentuk.

Selain itu, Zahari turut pernah berkhidmat sebagai Pengurus Editor akhbar Mingguan Islam.

Beliau turut menghasilkan banyak karya penulisan yang menerima Hadiah Karya Sastera.

Bagaimanapun, beliau melalui pelbagai cabaran dan liku kehidupan yang menjejaskan sumber pendapatannya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 12029020293744 atas nama Asari Ismail atau hubungi Zahari di talian 019-6960341/ Isterinya 011-25143128 (Puan Ani).