SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif untuk menyegarkan demokrasi dalam negara demi masa depan yang lebih cemerlang.
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata, dalam masa sama parti akan meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 secara terperinci dan membuat bedah siasat.
Menurutnya, ia bagi mengenal pasti beberapa langkah strategik yang dapat memperkukuhkan perjuangan Bersatu untuk terus membawa agenda rakyat Malaysia.
"Ini adalah kali pertama Bersatu menyertai pilihan raya dengan menggunakan simbol sendiri tanpa bergantung dan menumpang kepada pihak lain.
"Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Mohamed Azmin, Bersatu menerima keputusan pengundi-pengundi Negeri Sembilan yang memberikan sokongan kepada calon-calon di 24 kawasan yang ditandingi atas nama Bersatu.
"Selain itu, Bersatu mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat baharu untuk membentuk Kerajaan Negeri Sembilan dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16," ujarnya.