SEREMBAN - Kemenangan besar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini membuktikan rakyat ingin sebuah kerajaan yang stabil serta menolak politik berasaskan kebencian dan perkauman.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mandat yang diberikan pengundi daripada pelbagai kaum menunjukkan keyakinan mereka terhadap persefahaman BN-PN.
“Rakyat menolak unsur-unsur kebencian dan perkauman. Sebab itu pengundi Melayu, Cina, India, Orang Asli serta kaum-kaum lain terus memberikan kepercayaan kepada kami.
"Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan yang sebegini besar, tapi Alhamdulillah dengan mandat dan amanah ini jadi tanggungjawab kepada BN-PN untuk menghebatkan semua pentadbiran di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar selepas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, beliau amat terharu dengan mandat besar yang diberikan rakyat dan menyifatkannya sebagai satu amanah untuk memperkukuh pentadbiran negeri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya para pengundi yang telah memberikan mandat besar ini.
“Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan sebesar ini, amanah yang diberikan menjadi tanggungjawab BN dan PH untuk menghebatkan semula pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa kemenangan BN akan membawa kepada perubahan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, beliau berkata, keputusan rakyat yang memberikan majoriti melebihi dua pertiga telah menjawab segala persepsi negatif yang dimainkan sepanjang kempen.
“Sudah tiba masanya semua pihak menghentikan persepsi negatif dan memandang ke hadapan.
“Kita perlu bersatu serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat kerana kemakmuran negeri ini merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN dan PN agar segera melaksanakan amanah serta menunaikan segala janji manifesto yang dibuat kepada rakyat.
“Segala janji manifesto mesti ditunaikan. Rakyat tidak akan bertolak ansur dengan wakil rakyat yang gagal menjalankan tanggungjawab kerana mereka akan membuat penilaian pada pilihan raya akan datang.
“Saya mahu semua 25 wakil rakyat BN dan PH memaksimumkan khidmat kepada rakyat tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Mengenai pembentukan kerajaan negeri termasuk pelantikan barisan Exco, Jalaluddin berkata, perkara itu akan diputuskan selepas kerajaan berjaya dibentuk, manakala urusan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan dilakukan secepat mungkin.