[TIDAK RASMI] Calon paling tua, muda kalah kerusi ditandingi

Iklan
Abd Latif dan Leevineshwaraan masing-masing tewas di kerusi ditandingi.

SHAH ALAM - Calon tertua dan termuda yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan gagal mencipta kejutan apabila masing-masing tewas di kerusi yang ditandingi.

Calon tertua, Datuk Abd Latif A. Thambi, 70, dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) tewas kepada penyandang Barisan Nasional (BN), Suhaimizan Bizar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh.

Iklan
Iklan

Abd Latif yang juga Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan sebelum ini diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon paling tua bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

Sementara itu, calon termuda, Leevineshwaraan Murugan, 23, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut gagal menawan DUN Sri Tanjung apabila hanya memperoleh 445 undi.

Iklan

Kerusi berkenaan dimenangi calon PH, Datuk Dr. G. Rajasekaran yang memperoleh 3,921 undi, menewaskan calon BN, Achutan Alagan yang meraih 3,092 undi dengan majoriti 829 undi.

Dalam pertandingan lima penjuru di kerusi DUN Sri Tanjung itu, dua calon bebas, Islah Wahyudi Zainudin dan Datuk A Saravanan pula masing-masing hanya meraih 274 undi dan 58 undi.

Iklan

Sebelum ini, SPR mengumumkan Abd Latif sebagai calon tertua dalam PRN Negeri Sembilan, manakala Leevineshwaraan menjadi calon termuda apabila bertanding DUN Sri Tanjung pada PRN Negeri Sembilan.

Daripada keseluruhan 103 calon yang disahkan bertanding pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, seramai 39 calon berusia antara 40 hingga 49 tahun menjadi kumpulan umur paling ramai.

Ia diikuti 33 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun, 16 calon berusia 60 tahun ke atas, 12 calon berusia antara 30 hingga 39 tahun serta tiga calon berusia 18 hingga 29 tahun.

Rekod calon termuda sebelum ini dipegang oleh Muhammad Syakir Fitri Sadri yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Paroi ketika berusia 25 tahun pada 2023.

Pada PRN lepas, rekod calon tertua dipegang oleh Bujang Abu, 72, yang bertanding atas tiket Bebas.