Seorang lagi penunggang motosikal maut dalam perjalanan ke program RXZ Members 8.0

Iklan
Mangsa, Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, dari Kuala Lumpur bersama enam penunggang motosikal lain dalam perjalanan ke program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu.

CHUKAI - Seorang pekerja di sebuah restoran makanan segera maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 258.6, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku pada 6.30 pagi ketika mangsa, Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, dari Kuala Lumpur bersama enam penunggang motosikal lain dalam perjalanan ke program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di kepala serta kedua-dua belah kaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan penghadang jalan sebelah kanan sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang konkrit di antara penghadang jalan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Mohd Razi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

 

Iklan