SEREMBAN - Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada Jumaat memutuskan untuk mengiktiraf pelantikan Yang Teramat Mulia Dato' Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Yang Teramat Mulia Dato' Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau.
Persidangan itu dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir serta dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti.
Setiausaha DKU menerusi kenyataan media yang dikeluarkan memaklumkan persidangan berkenaan memenuhi syarat korum seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Menurutnya, beberapa perkara telah dipertimbangkan dan diputuskan dalam persidangan itu.
"DKU merakamkan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong melibatkan Muhammad Faris dan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau melibatkan Hassan yang berlangsung pada 27 Jun 2026, serta menasihatkan supaya menerima pengiktirafan mereka sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau yang telah dilantik secara sah mengikut adat luak masing-masing.
"DKU juga telah menerima dan merakamkan makluman daripada Ibu Soko, Anak Waris dan Ayer Luak Sungei Ujong bahawa penyandang pusaka Yang Amat Mulia Dato' Shahbandar, Dato' Seri Utama Badarudin Abdul Khalid telah dilucutkan mengikut Adat Luak Sungei Ujong berkuat kuasa 30 Julai 2026," katanya.
Justeru menurutnya, berdasarkan Perkara XV(1) UUTKNS 1959, jawatan Dato' Shahbandar Sungei Ujong dengan sendirinya menjadi kosong.
Tambahnya, DKU turut mengambil maklum bahawa proses bagi menyempurnakan pelantikan Dato' Shahbandar Sungei Ujong yang baharu mengikut Adat Luak Sungei Ujong masih belum selesai.
Selain itu kata DKU, Tuanku Muhriz telah menguatkuasakan Fasal 24 UUTKNS dengan mempersilakan wakil-wakil Ibu Soko Waris Berundang menghadiri Persidangan Khas DKU susulan aduan berkenaan penyandang pusaka Undang Luak Jelebu, Dato' Maarof Mat Rashad.
"DKU telah menguruskan aduan daripada Luak Jelebu dengan penuh adil dan menasihatkan supaya menerima kesepakatan yang dicapai oleh Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut, iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban, untuk memecat Dato' Maarof selaku Penyandang Pusaka Undang Luak Jelebu Ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023 susulan kesalahan-kesalahan adat yang dihuraikan.
"Maka dengan itu, jawatan Undang Luak Jelebu adalah dengan sendirinya kosong dan apa-apa tindakan yang dibuat oleh Dato' Maarof selepas tarikh tersebut hendaklah dianggap tidak sah," katanya.
Susulan keputusan berkenaan, kata DKU, Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan oleh Dato' Maarof ketika menyandang jawatan Undang Luak Jelebu turut gugur dengan sendirinya.
Malah, DKU memutuskan individu yang didakwa memegang jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu sebelum ini, masing-masing Datuk Mubarak Thahak, Abdul Rahim Yasin dan Datuk Maarof Mat Rashad, tidak mempunyai kedudukan yang sah di sisi undang-undang.
Menurut DKU, mereka sama ada telah diberhentikan mengikut adat, tidak pernah dilantik secara sah atau tidak pernah melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang seperti yang diperuntukkan.
Susulan itu katanya, kerajaan negeri juga diarahkan mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan segala pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh DKU.