SEREMBAN - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini mencapai antara 70 hingga 75 peratus.
Beliau berkata, sasaran berkenaan disifatkan memadai memandangkan ramai pengundi berdaftar, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tidak lagi menetap di kawasan berkenaan walaupun masih belum menukar alamat pusat mengundi.
"Saya harap peratusan itu tinggi kerana itu tanggungjawab kita sebagai warga Malaysia.
"Jadi kalau kita boleh dapat 70 ke 75 peratus, biasanya itu sudah memadai kerana ramai pengundi berdaftar itu tak tinggal di sini," katanya ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, Rantau di sini pada Sabtu.
Menurutnya, terdapat juga bekas anggota tentera dan polis yang telah berpindah selepas bersara, namun masih belum mengemas kini maklumat sebagai pengundi menyebabkan mereka sukar dikesan.
Mohamad berkata, proses pengundian di pusat mengundi itu berjalan lancar dan teratur dengan kehadiran pengundi yang ramai sejak awal pagi.
Justeru, beliau berharap pengundi DUN Rantau dapat segera menjalankan tanggungjawab membuang undi kerana dibimbangi sebelah petang hujan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Luar memaklumkan jadual tugas rasminya akan kembali padat sejurus tamat PRN.
Beliau berkata, pada Selasa depan beliau akan menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar negara itu sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Kemboja yang dihoskan Malaysia tahun ini.
Jelasnya, beliau sepatutnya menghadiri mesyuarat tergempar negara-negara Arab dan Islam di Jordan pada 5 Ogos berhubung pencerobohan serta keganasan berterusan Israel di Al-Aqsa, namun terpaksa mewakilkan penyertaan itu kepada wakil tetap Malaysia.
"Minggu depan pula saya menerima kedatangan Timbalan Perdana Menteri Laos yang juga Menteri Luar.
"Malaysia tahun ini menjadi tuan rumah kepada banyak mesyuarat Suruhanjaya Bersama. Banyak lawatan rasmi masuk dan saya juga perlu ke luar negara. Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, banyak mesyuarat tergempar dan rundingan perlu diadakan," katanya.
Mengulas dakwaan tular di media sosial kononnya terdapat persediaan di Istana di Serting, Jempol untuk majlis angkat sumpah Menteri Besar sekiranya BN memenangi PRN, Mohamad menyifatkan naratif terbabit sengaja ditimbulkan untuk memberi kemarahan kepada BN.
"Itu naratif mereka untuk menimbulkan kemarahan terhadap BN. Saya tidak tahu adanya perancangan begitu.
"Semua itu perang psikologi yang dibuat oleh Pakatan Harapan. Saya harap rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah berkenaan
"Dalam pilihan raya ini kita sepatutnya meyakinkan rakyat tentang apa yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan kesejahteraan mereka, bukannya memainkan fitnah," katanya.