Dividen 60 peratus tertinggi dalam sejarah Kosma - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy (enam dari kanan) memegang replika cek Dividen Modal Syer Kosma bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025 bersama barisan kepimpinan Kosma selepas pengumuman dividen itu pada malam Sabtu. Foto Jabatan Penerangan Pahang

KUANTAN – Pembayaran dividen modal syer pada kadar 60 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 menjadi yang tertinggi sejak Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) ditubuhkan pada 1967.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembayaran dividen yang diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu membabitkan agihan sebanyak RM35.32 juta kepada 1,469 anggota yang layak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, koperasi itu merekodkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM334.24 juta, meningkat RM43.46 juta berbanding RM290.78 juta pada 2024, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM102.30 juta berbanding RM84.02 juta pada tahun sebelumnya.

"Keuntungan yang dapat itu kita kembalikan kepada anggota koperasi dan sama juga macam kerajaan negeri Pahang (lakukan).

Iklan

"Apa yang kita dapat selepas ditolak kos, kita kembalikan kepada rakyat dalam pelbagai inisiatif termasuk bantuan persekolahan, kemasukan ke universiti, bantuan menunaikan haji, perkahwinan kali pertama dan Program Rumah Rakyat Pahang," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman dividen itu pada malam Sabtu.

Hadir pada majlis pengumuman itu, Pengerusi Kosma, Datuk Zamri Mohamed; Timbalan Pengerusinya, Datuk Mohd Sabri Abdullah dan barisan Ahli Lembaga Pengarah koperasi tersebut.

Iklan

Wan Rosdy menjelaskan, pembayaran dividen itu telah dikreditkan ke akaun anggota pada Jumaat sebagai penghargaan terhadap kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Kosma.

Menurutnya, agihan tersebut perlu diuruskan dengan baik dan dimanfaatkan mengikut keperluan masing-masing.

"Berbelanjalah jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut.

"Duit yang dapat itu belanjalah, tetapi simpanlah sikit dan kita tak tahu ke depan jadi macam mana," nasihat beliau lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, pencapaian tersebut turut menyaksikan Kosma diiktiraf sebagai Koperasi Ke-6 Terbaik Malaysia dalam senarai Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026 yang diumumkan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 pada 4 Julai lalu.

"Kejayaan ini mencerminkan kedudukan kewangan Kosma yang kukuh, malah membuktikan keberkesanan pengurusan koperasi dalam menjana keuntungan secara mampan serta mengembalikan manfaat tersebut kepada para anggotanya.

"Justeru, kerajaan negeri Pahang sentiasa menyokong pembangunan gerakan koperasi sebagai antara pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.