DRAMA mikro atau drama pendek dalam tempoh satu minit dan disiarkan 30 hingga 80 episod kini menjadi satu trend di media sosial terutama TikTok.
Ia dibuat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan pelbagai jalan cerita dan plot twist yang dapat menarik minat pengguna telefon bimbit untuk menonton drama tersebut.
Sementara untuk drama mikro bagi pasaran di China sahaja bernilai AS$14 bilion (RM57.2 bilion) dan Korea Selatan ia bernilai AS$490 juta (RM2 bilion) pada tahun 2024, malah diramalkan akan mencapai AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) pada tahun 2029.
Menurut laporan itu lagi, drama mikro bagi pasaran India pula mencecah AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) dengan peningkatan tahunan pada kadar 31 peratus dan diramalkan mencapai AS$4.5 bilion (RM18.4 bilion) pada tahun 2030.
Persatuan Perkhidmatan Penyiar Online China pula melaporkan penonton menghabiskan masa mereka dengan purata sebanyak 95 minit pada Januari 2025, namun meningkat sebanyak 120 minit pada Ogos 2025 menerusi aplikasi drama mikro.
Dari Januari hingga Ogos 2025, aplikasi drama mikro di luar pasaran China telah dimuat turun sebanyak 730 juta kali dengan peningkatan sebanyak 370 peratus dari tahun ke tahun.
Pendapatan menerusi drama mikro diperolehi menerusi bayaran bagi setiap episod dengan membenarkan pengguna menonton sebanyak 10 hingga 15 episod awal secara percuma dan kemudian mereka perlu membayar untuk ke episod seterusnya.
Model pendapatan lain ialah menerusi pengiklanan aplikasi tersebut termasuk kaedah affiliate marketing yang membolehkan pencipta kandungan meletakkan pautan produk yang ingin dijual.
Melihat kepada angka-angka pendapatan yang diperolehi daripada drama mikro dapat kita simpulkan bahawa ia mempunyai potensi yang amat besar terutama bagi industri kreatif.
Bagaimanapun di Malaysia masih belum ada sebarang angka rasmi dikeluarkan dan ini mungkin disebabkan oleh industri drama mikro di negara ini mula diteroka dan berkembang pada tahun lalu.
Tidak mustahil Malaysia juga mampu untuk menjana pendapatan besar daripada ledakkan daripada produk-produk drama mikro.
Berdasarkan laporan pada tahun 2024, industri kreatif digital Malaysia berkembang kukuh dengan lebih daripada 300 studio kandungan digital dan mencipta lebih daripada 180 harta intelek (IP) asli dalam bidang animasi dan permainan video.
Pada 2022, industri kreatif digital negara menjana pendapatan sebanyak RM6.3 bilion, dengan eksport berjumlah RM850 juta bagi menyokong lebih daripada 11,000 pekerjaan.
Ini dijangka memberi saingan besar kepada penerbit atau syarikat-syarikat produksi tempatan yang masih lagi menghasilkan drama dan filem untuk stesen televisyen dan juga panggung wayang.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian