Rekod terdahulu suntik keyakinan Harimau Malaya

Iklan
Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal (dua dari kanan) berpotensi disenarikan dalam kesebelasan utama selepas tonggak tengah, Endrick Dos Santos mengalami kecederaan. Foto Malaysia NT

REKOD lima pertemuan terakhir antara Malaysia dan Thailand memberi gambaran saingan sengit menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi ketiga Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala malam ini.

Walaupun Thailand muncul pemenang pada pertemuan terakhir menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam Piala ASEAN 2024, Harimau Malaya masih memiliki rekod yang mampu menyuntik keyakinan untuk mencabar tuan rumah.

Iklan
Iklan

Malaysia turut mencipta kemenangan penting dalam separuh akhir Piala AFF 2022 apabila menundukkan Thailand 1-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tewas 0-3 dalam perlawanan timbal balik di Bangkok.

Bagaimanapun, keputusan itu menunjukkan Thailand masih menjadi lawan sukar apabila mereka berjaya bangkit dalam beberapa pertemuan penting, termasuk kemenangan tipis pada aksi Piala ASEAN 2024 yang menyaksikan Malaysia gagal membawa pulang mata dari gelanggang lawan.

Iklan

Rekod tersebut memperlihatkan jurang antara kedua-dua pasukan tidak terlalu besar apabila Malaysia sering mampu memberi tentangan sengit walaupun berdepan pasukan yang memiliki reputasi besar di rantau Asia Tenggara.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini hadir ke Bangkok dengan momentum positif selepas mencatat dua kemenangan ke atas Myanmar dan Laos dalam saingan Kumpulan B, manakala Thailand turut membawa keyakinan selepas membelasah Laos 5-0.

Iklan

Namun, cabaran di Stadium Rajamangala pastinya berbeza apabila Thailand memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri selain mahu meneruskan dominasi di laman sendiri.

Bagi Harimau Malaya, kemenangan ke atas Thailand bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B, malah menjadi bekalan berharga untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir sebelum aksi terakhir menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Ogos.