PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 2,001 kes kebakaran kilang dengan jumlah kerugian RM4.21 bilion sejak 2021.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, angka itu bukan sekadar statistik, tetapi gambaran sebenar tentang kos yang terpaksa ditanggung oleh negara akibat kegagalan mengurus risiko kebakaran secara berkesan.
"Lebih membimbangkan, trend kebakaran kilang menunjukkan peningkatan sejak 2021 dengan catatan tertinggi direkodkan pada tahun lalu sebanyak 463 kes, iaitu peningkatan 28.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan nilai kerugian RM770.69 juta.
"Sehingga suku kedua tahun ini (Jun), sebanyak 222 kes telah direkodkan dengan purata sekitar 37 kes sebulan," katanya dalam ucapan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan di sini pada Jumaat.
Nor Hisham berkata, kadar ini secara asasnya adalah malar namun jika tidak ditangani dengan lebih serius mampu memberikan impak yang besar kepada industri.
"Apabila sesebuah kilang melabur dalam sistem keselamatan yang baik, latihan, pembangunan kemahiran serta pemerkasaan budaya keselamatan kebakaran, mereka sebenarnya melindungi kesinambungan operasi, pekerja dan masa depan perniagaan mereka," katanya.
Beliau berkata, JBPM berusaha memastikan tahap pematuhan terus dipertingkatkan, sebab itu kita mengambil pendekatan proaktif dalam penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah.
"Pada 2025 sebanyak 1,878 premis kategori kilang telah diperiksa iaitu meningkat sebanyak 20 peratus berbanding 1,563 premis yang diperiksa pada tahun sebelumnya dengan peningkatan 68 peratus," katanya.
Menurutnya, jumlah premis yang diberikan Notis MBK iaitu daripada 706 premis (2024) kepada 1,191 premis (2025).
"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, kita telah melaksanakan 945 pemeriksaan kilang dengan 637 daripadanya telah dikeluarkan Notis MBK dengan 426 kes bahaya kebakaran telah dikesan di mana 16 daripadanya gagal mematuhi notis," katanya.
Nor Hisham berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa satu sesi khas antara Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran dan Ketua-ketua Zon serta Ketua Cawangan seluruh negara telah diadakan pada Rabu.
"Perbincangan ini, bagi saya sangat relevan bagi membincangkan isu dan permasalahan berkaitan pematuhan kepada undang-undang yang berkuatkuasa dengan lebih menyeluruh untuk ditangani bersama dengan pihak berkuasa tempatan," katanya.