PUTRAJAYA – Bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran yang disabitkan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais pada 11 tahun lalu, kekal dihukum gantung sampai mati.
Ia selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat menolak permohonannya untuk menyemak keputusan tersebut.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara menolak permohonan Kunaseegaran, 63, untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman gantung terhadapnya.
Ketika membacakan penghakiman, Hashim berkata, panel mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi ambang undang-undang yang ditetapkan.
Beliau berkata, panel turut meneliti pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk keterangan keadaan, pertuduhan serta pembelaan yang dikemukakan oleh pemohon.
“Oleh itu, hujahan yang mendakwa panel sebelum ini tidak mempertimbangkan isu-isu lain sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
“Tiada perkara yang perlu dipertimbangkan dan kami berpendapat keputusan terdahulu lebih sesuai terpakai dalam kes ini.
“Sehubungan itu, kami menolak permohonan semakan ini,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azimah Omar.
Dalam prosiding itu, Kunaseegaran diwakili peguam, Datuk N Sivananthan, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth sementara pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Edris Zainuddin.
Kevin, 55, dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan mayatnya ditemukan dalam tong dram berisi simen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun sama.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki selepas mendapati mereka bersalah membunuh Kevin di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman ketika itu, mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Pada 14 Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam lelaki itu.
Mereka ialah Kunaseegaran, pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 56; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 34; A K Thinesh Kumar, 33; M Vishwanath, 36; serta S Nimalan, 34.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, sebulat suara memutuskan keputusan itu.
Pada 1 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Kunaseegaran.
Mahkamah berkenaan turut mengekalkan sabitan bersalah terhadap Nimalan dan Ravi Chandran.
Nimalan dihukum penjara 35 tahun dengan 12 sebatan manakala Ravi Chandran dihukum penjara 40 tahun.
Hukuman sebatan tidak dikenakan ke atas Ravi Chandran memandangkan dia berusia lebih 50 tahun.
Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh iaitu Dinishwaran, Thinesh Kumar dan Vishwanath dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap mereka.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang kini telah bersara, bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga telah pencen dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.