KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang juruterbang warga tempatan oleh pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA bersama sejumlah kecil syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu ditahan sejurus tiba dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada malam Selasa lalu.
"Suspek ditahan di sana dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara itu ," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Difahamkan suspek berusia 39 tahun itu diberkas selepas mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru menerusi pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X.
Pemeriksaan lanjut menemui 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan anggaran berat kira-kira 25 kilogram serta 2.7 gram syabu.
Difahamkan juga, ujian air kencing ke atas suspek turut didapati positif syabu, ekstasi dan kokain.
Sementara itu Pengarah Direktorat Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Brigadir Jeneral Eko Hadi Santoso dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Suspek dikatakan dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 oleh seorang dalang di Malaysia sebagai upah membawa bekalan dadah itu ke Jakarta.
Sebaik tiba di Indonesia, suspek diarahkan mendaftar masuk ke sebuah hotel sebelum dihubungi anggota sindiket bagi menyerahkan bagasi mengandungi dadah itu.