EPSON Malaysia memperkenalkan siri pencetak tangki dakwat (Ink Tank) EcoTank baharu yang menawarkan kos pemilikan lebih rendah bagi membantu pengguna terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi serta meningkatkan produktiviti.
Pengarah Urusan Epson Malaysia, Alvin Tan berkata, Epson sentiasa memberi tumpuan menghasilkan penyelesaian percetakan berdasarkan keperluan pengguna khususnya dalam aspek kos pemilikan.
Beliau berkata, lebih 100 juta unit pencetak itu sudah terjual di seluruh dunia sejak teknologi EcoTank diperkenalkan pada Oktober 2010 sekali gus menunjukkan penerimaan tinggi pengguna terhadap sistem tangki dakwat.
"Ia dibangunkan bagi memberikan pengalaman penggunaan lebih mudah, meningkatkan produktiviti serta menawarkan nilai jangka panjang untuk pengguna di rumah dan perniagaan kecil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran EcoTank Epson di sini pada Khamis.
Pelancaran generasi terbaharu EcoTank itu turut disusuli kempen 'Print Without Worry' yang menawarkan jaminan selama lima tahun sebagai komitmen Epson terhadap ketahanan dan kebolehpercayaan produknya.
Menurut Alvin, pencetak EcoTank baharu itu mampu membantu pengguna mengurangkan gangguan operasi menerusi ciri ketahanan produk serta penyelenggaraan lebih mudah.
Sementara itu, ketika bercakap pada sesi sidang media, Alvin berkata, kos pemilikan pencetak menjadi antara faktor penting yang dipertimbangkan pengguna.
Katanya, Epson mula membangunkan pencetak tangki dakwat selepas melihat perubahan corak penggunaan pelanggan yang beralih daripada sistem kartrij dakwat kepada sistem isi semula bagi mengurangkan kos percetakan.
"Ketika itu kami menghasilkan pencetak menggunakan kartrij dakwat, namun kosnya agak tinggi.
"Kami mendapati pelanggan membeli pencetak dan kemudian menggantikan dengan sistem tangki dakwat yang ketika itu sangat popular di Indonesia," ujar beliau.
Menurut beliau, pelancaran kali ini merupakan pembaharuan pertama bagi siri pencetak tangki dakwat Epson selepas tempoh lima tahun.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Epson Malaysia, Dickson Lee berkata, PKS kini berdepan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar menyebabkan mereka perlu meningkatkan produktiviti di samping mengawal kos operasi.
"Walaupun pendigitalan semakin berkembang, keperluan terhadap percetakan masih kekal penting dalam operasi pejabat moden.
"Epson akan terus memperkukuhkan ekosistem EcoTank di Malaysia menerusi kempen pemasaran di lokasi perniagaan, platform luar serta digital bagi mendekati lebih ramai pengguna," jelas beliau.