RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa didorong oleh tanda-tanda kemajuan dalam rundingan diplomatik antara Washington dan Teheran.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0690/0750 berbanding dolar AS daripada 4.0695/0735 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz.
Harga minyak mentah Brent menurun dengan ketara sebanyak 8.12 peratus kepada US$104.21 setong.
"Bagaimanapun, situasi di Asia Barat masih tidak menentu dan pemain pasaran akan terus memantau keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Mohd Afzanizam menjangka ringgit diniagakan dalam jajaran kecil hari ini berikutan sentimen pasaran kekal berhati-hati.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5540/5607 daripada 4.5652/5697 semasa ditutup pada Isnin, naik berbanding pound kepada 5.4561/4642 daripada 5.4621/4675, bagaimanapun menurun berbanding yen kepada 2.5769/5809 daripada 2.5766/5793 sebelum ini.
Ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1809/1858 daripada 3.1825/1862, bagaimanapun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 224.1/224.5 dan peso Filipina kepada 6.39/6.41.
Mata wang tempatan menurun berbanding baht Thailand kepada 12.0634/0920 daripada 12.0496/0661 semasa ditutup pada Isnin. - Bernama