SIAPA sangka, sebuah jenama produk makanan sihat mesra keto dan paleo, iaitu rendah karbohidrat serta membantu mengurangkan keradangan, yang kini menembusi pasaran Singapura dan Indonesia bermula daripada ruang kecil di sebuah klinik di Bukit Payong, Marang, Terengganu.
Ketua Pegawai Hasil (Jualan dan Pemasaran) Kalislab, Dr Nadzirah Md Sariff, 35, berkata, perjalanan membangunkan jenama tempatan itu bersama suaminya, Dr Taslim Razin, 35, serta pasukan pengurusan bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut beliau, kejayaan tersebut menuntut ketabahan yang tinggi, disiplin pengurusan kewangan yang ketat serta usaha berterusan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan amalan pemakanan sihat.
Menceritakan detik awal penubuhannya, Dr Nadzirah berkata, jenama yang kini berkembang di bawah syarikat Kalislab sebenarnya berakar umbi daripada pengalaman klinikal Dr Mohd Razin Jaafar menerusi Klinik Dr Razin di Bukit Payong.
"Apabila melihat pelbagai penyakit serius yang kebanyakannya berpunca daripada tabiat pemakanan serta kekangan pesakit yang tidak dapat menikmati makanan seperti biasa, timbul idea untuk menghasilkan makanan sihat yang boleh dinikmati tanpa rasa ragu-ragu," katanya ketika mengimbas kembali titik permulaan penubuhan Kalislab pada 2021.
Bermula dengan penghasilan coklat keto secara kecil-kecilan, Kalislab yang menggunakan slogan 'Food As Medicine' memanfaatkan modal simpanan sendiri tanpa sebarang pinjaman luar untuk menjalankan pelbagai kajian dan eksperimen produk.
Usaha tersebut turut diperkukuhkan apabila syarikat itu mendapatkan khidmat nasihat daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada tahun yang sama bagi menghasilkan coklat hitam (dark chocolate) dengan perisa yang unik.
Daripada produk awal itu, Kalislab memperluaskan variasi kepada perisa garam laut (sea salt) dan turut menghasilkan produk berasaskan minyak sapi premium di bawah jenama Grass-Fed Ghee.
"Pada peringkat awal, kami hanya menghasilkan sekitar 20 botol produk secara home-based. Namun, peningkatan permintaan yang ketara sejak 2022 mendorong kami memperbesarkan kapasiti pengeluaran.
"Awal tahun ini, kami mampu menghasilkan sehingga 1,000 botol bagi setiap kelompok pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang," katanya.
Tenaga kerja
Dr Nadzirah berkata, meskipun bermula sebagai perniagaan mikro, Kalislab kini berkembang pesat dengan tenaga kerja seramai 32 orang yang menggerakkan pelbagai bahagian operasi.
"Daripada jumlah itu, empat orang bertugas di bahagian pengurusan, tujuh di bahagian jualan dan pemasaran, lima di bahagian pemenuhan, manakala lapan orang di bahagian pengeluaran.
"Kami juga mempunyai seorang kakitangan bagi bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), seorang di bahagian penyelenggaraan, dua orang di pejabat Kota Damansara serta empat orang di PIK Cafe," jelasnya.
Menurut beliau, walaupun berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal terutama dari segi pengurusan masa, modal dan operasi, aspek kualiti serta keselamatan makanan tidak pernah dikompromi.
Komitmen berterusan itu membuahkan hasil apabila Kalislab memperoleh pensijilan Halal pada November 2025 dan turut menerima pensijilan MeSTI, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluarannya.
Malah, inovasi syarikat itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila meraih pingat emas dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2021.
Selain itu, Kalislab turut tersenarai dalam kelompok tiga terbaik kategori Usahawan Berprestasi Tinggi dalam Anugerah Usahawan Terengganu tahun lalu.
Sementara itu, Dr Taslim berkata, strategi pemasaran digital memainkan peranan besar dalam pertumbuhan syarikat tersebut.
"Kami bermula dengan jualan melalui Onpay, Lazada dan Shopee sebelum melancarkan laman web rasmi kalislab.my pada 2024. Selepas itu, kami terus berkembang ke TikTok Shop serta platform digital lain," katanya.
Menurut beliau, pengenalan sistem ejen sejak tahun lalu turut membantu memperluaskan rangkaian pengedaran produk.
"Kini kami mempunyai lebih 2,000 ejen berdaftar yang membantu memasarkan pelbagai produk seperti minyak zaitun, minyak sapi vanila, minyak kelapa dan Cocofenol," katanya.
Tambah beliau, Kalislab kini sedang merancang untuk memperkukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa dengan menembusi pasaran Singapura secara rasmi menerusi platform dalam talian, selain menerima tempahan pukal berskala besar dari Indonesia.
"Kami juga merancang membuka galeri pameran sendiri serta cawangan kafe baharu selepas pembukaan cawangan pertama di Kuala Lumpur. Kebanyakan menu yang ditawarkan ialah makanan sihat yang sesuai dinikmati oleh pelbagai golongan termasuk pesakit yang perlu menjaga pemakanan," katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau turut menitipkan pesanan kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan.
"Jika mahu menjual sesuatu produk, usahawan perlu memahami sasaran pasaran dengan mendalam. Pemasaran melalui media sosial juga sangat penting untuk meningkatkan pengenalan jenama.
"Pada masa yang sama, pengurusan kewangan perlu diberi perhatian serius. Utamakan keperluan sebelum berbelanja bagi perkara yang tidak diperlukan," ujarnya.