Adam tidak lagi bergantung kepada beg plastik

Iklan
Kehidupan kanak-kanak menghidap komplikasi usus terkeluar sejak lahir, Mohd Adam Mat Noh, 7, kini jauh berbeza berbanding setahun lalu.

JERANTUT – Kehidupan kanak-kanak menghidap komplikasi usus terkeluar sejak lahir, Mohd Adam Mat Noh, 7, kini jauh berbeza berbanding setahun lalu apabila dia tidak lagi perlu menggunakan beg plastik sebagai pengganti beg stoma.

Perkembangan positif itu memberi kelegaan kepada bapanya, Mat Noh Mohamed, 57, yang berdepan kesukaran menyediakan keperluan perubatan akibat kekangan kewangan.

Iklan
Iklan

Menurut bapa tunggal dari Felda Kota Gelanggi 4 itu, kisah anak bangsunya mendapat perhatian apabila disiarkan akhbar ini pada Februari 2025 dan liputan susulan setahun kemudian sekali lagi mendapat perhatian ramai.

Kisah derita Adam turut disiarkan Sinar Harian melalui platform media sosial.

Iklan

Katanya, pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pahang, MUIP, badan bukan kerajaan, syarikat swasta dan individu perseorangan tampil menghulurkan bantuan.

"Saya amat berterima kasih kepada Sinar Harian dan media lain juga kerana membantu mengangkat kisah anak saya sehingga ramai yang tampil menghulurkan bantuan.

Iklan

"Sekarang Adam sudah pakai beg stoma dan tidak lagi bergantung kepada beg plastik selepas bantuan peralatan perubatan disalurkan MUIP," katanya yang turut menjaga seorang lagi anaknya, Mohd Razak, 11.

Adam masih perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan secara berkala di hospital bagi memantau perkembangan kesihatannya.

Masalah kesihatan itu dikesan sejak lahir apabila organ dalamannya didapati pendek dan tersumbat, menyebabkan Mohd Adam gagal membuang air besar secara normal.

Adam yang kini berada di Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelanggi 2 juga pernah menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 2022 sehingga sebahagian ususnya terpaksa dibuang.

"Adam dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain cuma aktivitinya agak terbatas dan perlu dipantau ekoran masalah kesihatan dihadapi.

"Dia juga masih perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan secara berkala di hospital bagi memantau perkembangan kesihatan sebelum menjalani pembedahan memasukkan semula usus yang terkeluar," ujarnya sambil mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Sinar Harian sempena ulang tahun ke-20 penerbitan.