KOTA BHARU – Sudah 20 tahun berlalu namun kenangan membuat liputan kemalangan maut pada April 2006 di Pasir Mas menjadi pengalaman paling sukar dilupakan buat bekas wartawan perintis Sinar Harian, Rohana Derahman, 45.
"Mangsa yang maut rupa-rupanya tunang sendiri," katanya yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sarang Tiong, Rompin, Pahang.
Menceritakan kembali kenangan tersebut, Rohana berkata, kejadian berlaku ketika diminta membuat liputan program seorang menteri di Pasir Mas pada hari Jumaat.
"Kebetulan pada hari tersebut tunang saya yang bekerja di Jabatan Kerja Raya bercadang ke Rantau Panjang.
"Sebelum tengah hari dia singgah di rumah keluarga saya. Saya minta dia tidak balik kerana hujan lebat dan solat sahaja di Masjid Lati, tetapi dia tetap mahu pulang ke Bayu Lalang.
"Ketika saya sedang bersiap untuk tugasan, saya menerima panggilan daripada anggota bomba memaklumkan berlaku kemalangan berhampiran rumah saya dan diminta ke lokasi," katanya.
Menurut Rohana, sebaik tiba di tempat kejadian, ada rakan menghalangnya daripada menghampiri mangsa sebelum seorang rakan media yang kebetulan berada di lokasi menunjukkan kad pengenalan mangsa.
"Bila saya tengok kad pengenalan itu, saya tahu mangsa ialah tunang saya sendiri" ujarnya.
Anak jati Pasir Mas itu berkata, arwah tunangnya yang lengkap berbaju Melayu kelabu meninggal dunia selepas kereta dipandu terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.
Susulan kejadian tersebut, dia mengambil cuti selama 15 hari kerana terlalu terkesan sehingga tidak mampu bercakap setiap kali diziarahi saudara-mara dan rakan-rakan.
Menurutnya, kata-kata semangat daripada bekas Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf, Allahyarham Datuk Jalil Ali menjadi pemangkin untuk kembali bertugas.
"Arwah Datuk Jalil beritahu saya, 'awak insan terpilih, ALLAH pilih awak kerana tahu awak kuat. Menangislah selagi awak mahu, tetapi hidup mesti diteruskan.
"Kata-kata itu memberi kekuatan kepada saya untuk bangkit semula.
"Sejak itu saya belajar bahawa sebagai wartawan, walau seberat mana ujian, tugas tetap perlu diteruskan," katanya yang meninggalkan dunia kewartawanan pada Julai 2007.