DALAM usaha memperkembangkan perniagaan, usahawan mungkin mempertimbangkan pertumbuhan secara bukan organik melalui pembelian sebahagian pegangan atau pengambilalihan perniagaan lain. Perkara ini sering berlaku tanpa disedari oleh orang ramai kerana penjual dan pembeli tidak semestinya perlu mengumumkan urus niaga tersebut.
Selain mempercepatkan pembinaan skala perniagaan dan meluaskan pasaran, pembelian syarikat lain juga sering digunakan untuk menghapuskan persaingan. Keadaan ini kerap berlaku di Silicon Valley kerana teknologi yang dimiliki oleh pesaing berpotensi menjejaskan produk atau perniagaan syarikat yang membuat pengambilalihan tersebut.
Berbeza dengan pembelian kereta yang spesifikasinya jelas dan harganya mudah dibandingkan, pembelian perniagaan jauh lebih kompleks dan berisiko.
Hal ini demikian kerana terdapat banyak aspek yang perlu diteliti sebelum sebarang perbincangan mengenai harga dapat dimulakan.
Antara perkara utama yang perlu difahami ialah model perniagaan syarikat sasaran. Adakah model perniagaan tersebut mampu berkembang, berdaya tahan dalam jangka masa yang munasabah, atau akan terjejas apabila pesaing baharu memasuki pasaran dengan produk yang lebih inovatif?
Tahap persaingan semasa serta potensi perkembangan pasaran pada masa hadapan juga penting untuk mengenal pasti persoalan yang perlu dikaji dengan lebih mendalam.
Perniagaan beroperasi dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah. Sekiranya tujuan pembelian adalah untuk menggabungkan perniagaan sasaran dengan perniagaan pembeli, persoalan sama ada model perniagaan tersebut mudah diintegrasikan atau memerlukan kompromi daripada salah satu pihak perlu diberikan perhatian.
Implikasi yang bakal berlaku selepas pembelian harus difikirkan dan dirancang lebih awal.
Bagaimana pula dengan prestasi dan kedudukan kewangan syarikat sasaran? Adakah keadaan kewangannya benar-benar seperti yang ditunjukkan, atau terdapat kelemahan dan liabiliti tersembunyi yang hanya akan muncul selepas pengambilalihan selesai?
Aspek kewangan amat penting kerana pembeli tidak mahu kehilangan nilai pelaburan dalam tempoh yang singkat selepas pembelian dibuat.
Satu lagi aspek yang penting ialah hak dan tanggungjawab dari sudut perundangan. Sebagai contoh, adakah perniagaan yang dibeli benar-benar memiliki aset yang didakwanya? Adakah terdapat liabiliti atau tanggungan yang mungkin timbul pada masa hadapan tetapi belum direkodkan dalam penyata kedudukan kewangan?
Selain itu, perlu dikenal pasti sama ada anggota pasukan dalam perniagaan sasaran masih diperlukan pada masa hadapan dan sama ada mereka akan terus kekal selepas pengambilalihan. Sudah tentu pembeli tidak mahu mewarisi tenaga kerja yang tidak produktif.
Pada masa yang sama, terdapat kes di mana individu-individu yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan memilih untuk meninggalkan syarikat secara beramai-ramai selepas proses pembelian selesai.
Bagi perniagaan dalam industri khusus seperti minyak dan gas atau teknologi maklumat, isu-isu kritikal yang berkaitan perlu disemak dan disahkan.
Sebagai contoh, adakah perniagaan yang ingin dibeli memiliki lesen, permit dan kelulusan yang diperlukan untuk terus beroperasi?
Oleh sebab terdapat begitu banyak perkara yang perlu difahami dan disahkan, lazimnya satu proses ketekunan wajar (due diligence) akan dijalankan.
Proses ini melibatkan pemeriksaan terperinci terhadap aspek kewangan, perundangan dan modal insan. Di samping itu, pembeli yang memahami industri berkenaan perlu menilai model perniagaan sasaran serta merancang hala tuju perniagaan tersebut pada masa hadapan.
Proses ketekunan wajar hendaklah dilaksanakan secara teliti oleh individu yang benar-benar berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing.
Selain itu, kejujuran dan integriti amat penting. Segala dapatan perlu dilaporkan secara telus dan tepat, bukannya dimanipulasi semata-mata untuk memastikan cadangan pembelian diteruskan.
Setelah kedudukan semasa dan prospek masa hadapan syarikat sasaran difahami dengan jelas, barulah rundingan harga boleh dimulakan.
Tanpa pemahaman yang kukuh, pembeli tidak mempunyai asas yang mencukupi untuk menentukan nilai sebenar perniagaan tersebut dan berisiko membuat keputusan berdasarkan andaian semata-mata.
Pembelian perniagaan perlu dilaksanakan dengan teliti agar pembeli benar-benar memperoleh nilai yang setimpal dengan harga yang dibayar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Jika pembelian dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang sewajarnya, penyesalan yang timbul kemudian tidak akan membawa sebarang manfaat.