AI ubah corak generasi baharu berdagang

Iklan
Pelabur generasi baharu cenderung berinteraksi dengan pasaran menerusi penggunaan AI.Gamabr kecil: Theodore

KUALA LUMPUR -  Kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi cara generasi baharu membuat analisis dan keputusan dalam aktiviti perdagangan apabila teknologi itu mula digunakan untuk memproses maklumat pasaran dengan lebih pantas.

Perubahan berkenaan turut mendorong penyedia platform dagangan melihat potensi pasaran Asia Tenggara yang kini mempunyai kelompok pelabur runcit semakin celik digital dan selesa menggunakan peranti mudah alih.

Iklan
Iklan

Theodore dari Jabatan Pemasaran ProreX berkata, perkembangan penggunaan teknologi dalam kalangan pedagang menjadi antara faktor pihaknya mengintai peluang pasaran di rantau berkenaan.

Menurutnya, generasi pedagang baharu kini lebih cenderung menggunakan aplikasi mudah alih untuk mengurus aktiviti berkaitan pasaran berbanding bergantung sepenuhnya kepada terminal dagangan konvensional.

Iklan

“Perubahan cara pengguna mendapatkan maklumat turut mengubah bagaimana mereka berinteraksi dengan pasaran, terutama apabila AI semakin mudah digunakan,” katanya.

Trend itu dapat dilihat di Vietnam apabila jumlah akaun dagangan sekuriti tempatan melebihi 12.26 juta pada akhir Februari 2026.

Iklan

Di Malaysia pula, data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menunjukkan individu berusia 35 tahun ke bawah menyumbang lebih 50 peratus pembukaan akaun pasaran saham runcit baharu setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Golongan berkenaan kini merangkumi kira-kira 490,000 daripada 2.4 juta akaun runcit aktif di negara ini.

Perubahan demografi itu turut berlaku seiring peningkatan penggunaan AI dalam kalangan pelabur muda, khususnya bagi mendapatkan maklumat dan membantu proses membuat analisis.

Laporan 2024 Global Retail Investor Outlook yang dirujuk dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 SC mendapati 36 peratus pelabur Gen Z dan milenial menggunakan chatbot AI secara aktif, berbanding 15 peratus bagi Gen X dan baby boomers.

Teknologi berasaskan bahasa semula jadi juga semakin digunakan bagi membolehkan pengguna berinteraksi dengan sistem AI menggunakan arahan biasa untuk menapis maklumat pasaran, menilai risiko dan mendapatkan idea perdagangan.

Pada masa sama, konsep agentic trading membolehkan AI memproses pelbagai data pasaran sebelum mengemukakan cadangan, dengan keputusan akhir untuk melaksanakan urus niaga kekal di tangan pengguna.

Pendekatan itu memperlihatkan perubahan peranan AI daripada sekadar alat mendapatkan maklumat kepada teknologi yang membantu menyusun dan menganalisis data sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Selain aktiviti perdagangan berdasarkan pergerakan harga, perkembangan teknologi turut membuka ruang kepada konsep Events Trading yang mengaitkan keputusan perdagangan dengan peristiwa tertentu seperti pengumuman kadar faedah dan perkembangan ekonomi global.

Bagaimanapun, penggunaan AI dalam aktiviti perdagangan tidak bermakna risiko dapat dihapuskan sepenuhnya kerana keputusan yang dihasilkan sistem masih bergantung kepada ketepatan dan kelengkapan maklumat yang diproses.

Theodore berkata, pengguna juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko penipuan dan penyamaran dalam talian apabila semakin banyak urusan perdagangan dilakukan secara digital.