JOHOR BAHRU – Ribuan pembaca sanggup beratur sejak awal pagi demi menebus tiket taman tema popular menjadi antara kenangan paling manis dan sukar dilupakan warga kerja Sinar Harian Johor kira-kira 10 tahun lalu.
Bekas Ketua Biro Sinar Harian Johor, Norashikin Mohd Salleh berkata, pembaca membeli dan mengumpul token di akhbar ini bagi tempoh tertentu sebagai syarat penebusan.
"Bila kaunter di pejabat di Larkin dibuka pada waktu pagi, orang dah penuh beratur. Malah, ada yang datang dari luar Johor Bahru.
"Sebaik sahaja kaunter dibuka, kawasan pejabat sudah dipenuhi orang ramai dengan barisan yang mengelilingi kawasan premis perniagaan sejauh lebih satu kilometer.
"Kita memang tak sangka sambutannya jadi sehebat itu sehingga polis datang dan menasihatkan kami supaya memaklumkan lebih awal jika program seperti ini diadakan lagi," katanya.
Norashikin mengakui program tersebut bukan sahaja meningkatkan jualan akhbar, malah membuktikan pembaca sanggup membeli dan mengumpul akhbar Sinar Harian kerana yakin dengan promosi yang ditawarkan.