PANASONIC AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd dilapor akan menghentikan operasi fasilitinya di Shah Alam menjelang Mac 2027 sebagai sebahagian langkah penstrukturan semula global bagi memperkukuh daya saing perniagaan produk audio visual untuk pengguna.
Menurut kenyataan syarikat tersebut, pengeluaran televisyen di kilang berkenaan akan dihentikan menjelang September 2026 manakala pengeluaran pemain Blu-ray Disc akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co Ltd di China.
Pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics di kilang Shah Alam turut akan dihentikan menjelang Februari 2027 dan dipindahkan ke satu lagi syarikat kumpulan Panasonic.
Penstrukturan semula itu dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja sebelum kilang terbabit menghentikan operasi sepenuhnya menjelang akhir Mac 2027.
Panasonic berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik bagi membantu pekerja terjejas menerusi bantuan penempatan pekerjaan dan program peralihan kerjaya.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan berkenaan untuk mengoptimumkan jejak pembuatan global serta meningkatkan daya saing produk.
Bagaimanapun, Panasonic berkata, pihaknya akan meneruskan pengeluaran produk audio di Malaysia, sementara jualan serta perkhidmatan selepas jualan bagi produk televisyen dan audio akan diteruskan seperti biasa.
Tegas Panasonic, Malaysia kekal sebagai hab serantau penting bagi kumpulan itu dengan kira-kira 12,000 pekerja merangkumi operasi pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fungsi korporat.
"Panasonic akan terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhannya dalam rantaian bekalan bernilai tambah tinggi, selain kekal komited untuk menyumbang kepada negara dan komuniti tempatan," katanya.