KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 yang antara lain memperuntukkan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia secara inklusif, membabitkan wakil kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, komposisi majlis itu diperuntukkan di bawah Fasal 3(2) RUU berkenaan bagi memastikan keseimbangan dan keterangkuman menerusi perwakilan daripada pelbagai sektor di seluruh negara.
Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), manakala Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilantik sebagai timbalan pengerusi, sekali gus membolehkan penyelarasan rentas agensi dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Hui Ying berkata, pendekatan itu juga selaras dengan amalan antarabangsa seperti di Hong Kong, yang menyaksikan keputusan dibuat secara kolektif oleh majlis dan bukannya individu.
"Kita mempunyai wakil pekerja sosial dari setiap negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia, selain wakil daripada sektor awam dan swasta. Ini bermakna pengamal kerja sosial mempunyai keanggotaan yang dijamin di bawah akta.
"Selain itu, peruntukan pakar daripada sektor swasta membuka ruang yang luas kepada wakil persatuan profesional, wakil NGO, pendidik kerja sosial serta ahli akademik untuk dilantik oleh menteri berdasarkan merit dan kepakaran," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada bacaan kali kedua di Dewan Negara.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara selepas dibahaskan oleh 19 senator.
Hui Ying berkata anggota majlis akan dilantik bagi tempoh tidak melebihi dua tahun bagi memastikan kepakaran dalam bidang kerja sosial dapat dimanfaatkan secara menyeluruh merentasi pelbagai sektor.
Ketika membentangkan RUU itu, beliau berkata penggubalan undang-undang berkenaan penting bagi memperkukuh profesionalisme bidang kerja sosial yang kini berdepan cabaran isu sosial yang semakin kompleks.
Beliau berkata, menerusi RUU itu, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan ditubuhkan bagi mengawal selia pendaftaran pengamal, menetapkan standard kompetensi profesional serta mengurus aspek etika dan disiplin pekerja sosial.
Selain meningkatkan jumlah pekerja sosial yang berkelayakan, katanya langkah itu juga dapat melindungi masyarakat daripada individu yang menyalahgunakan gelaran pekerja sosial tanpa kelayakan, di samping mengiktiraf profesion itu sebagai kerjaya penting.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin. - Bernama