SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Rabu.
SPRM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar telah dilantik bagi mengetuai pasukan khas berkenaan.
Menurut SPRM, ini bagi meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613) atau mana-mana kesalahan yang berkaitan.
"SPRM komited untuk memastikan setiap isu yang dibangkitkan melalui laporan tersebut diteliti dengan sewajarnya.
Tambah kenyataan itu, adalah ditegaskan bahawa SPRM sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti didalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan dari mana-mana pihak.
"Justeru, kerjasama daripada orang ramai diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa jua isu sehingga siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya," menurut kenyataan itu.
Media sebelum itu melaporkan, RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020 ditubuhkan bagi meneliti dakwaan salah urus, kedudukan kewangan, tadbir urus, pelaburan dan pematuhan terhadap undang-undang.
Laporan RCI mengenal pasti kelemahan struktur pentadbiran, amalan pengurusan kewangan dan keputusan pelaburan yang didakwa menjejaskan kedudukan kewangan TH.
Pada masa sama, RCI mengemukakan 25 syor bagi memastikan institusi itu lebih telus, profesional dan mampan pada masa depan.