BANDAR PERMAISURI - Seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan hilang ketika pergi ke kebunnya di Kampung Ulu Seladang, dekat sini 27 Julai lepas, ditemukan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Ketua Polis Daerah Setiu Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, mangsa Nik Mohd Ilmuraradin Nik Ismail, 70, dijumpai pada 10.45 pagi, kira-kira 600 meter dari lokasi motosikalnya yang ditinggalkan di kawasan kebun berkenaan.
Beliau berkata, polis menerima maklumat pada 29 Julai lepas mengenai penemuan sebuah motosikal yang ditinggalkan di kawasan kebun di Kampung Ulu Seladang, sebelum semakan mengesahkan motosikal itu milik mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang.
"Mangsa dilaporkan keluar dari kediamannya di Kampung Undang, Bukit Payung, Kuala Terengganu pada 27 Julai untuk ke kebunnya di Kampung Ulu Seladang, Setiu sebelum gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pagi tadi dengan taklimat operasi yang dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintenden Ahmad Badrul Hisyam Ghazali.
Zahril Asri berkata, sebaik ditemukan, mangsa telah diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, sebanyak 46 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung terlibat dalam SAR. - Bernama