JEMPOL- Barisan Nasional (BN) melihat masih terdapat ruang untuk meningkatkan sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau meskipun mengakui usaha itu bukan satu tugas yang mudah.
Calon BN DUN Bahau, Chong Fui Ming berkata, pihaknya menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 30 peratus undi masyarakat Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana percaya sasaran berkenaan mampu meningkatkan peluang kemenangan.
“Bukan mudah, tetapi saya masih optimis. Kita masih ada peluang," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang mesra di panggil Ah Chong berkata, keyakinan itu turut berdasarkan maklum balas diterima daripada pengundi sepanjang tempoh kempen sejak 18 Julai lalu.
Dalam pada itu katanya, optimis mampu memperoleh sokongan daripada pengundi Melayu khususnya di kawasan kampung Melayu dengan bantuan jentera Perikatan Nasional (PN) yang turut membantu kempen di peringkat akar umbi.
“Dengan sokongan pengundi daripada Pas dalam PN dan kempen bersepadu daripada mereka, kita yakin akan ada sokongan daripada kebanyakan pengundi Melayu.
"Sokongan daripada pengundi India juga menunjukkan perkembangan positif berdasarkan penerimaan masyarakat terhadap kempen yang dijalankan," katanya.
Beliau berkata, sokongan masyarakat Cina juga dilihat semakin meningkat, terutama dalam kalangan golongan peniaga dan penjaja yang mahukan perubahan berlaku di DUN Bahau.
Menurutnya, beliau bersama jentera kempen telah selesai turun padang menemui pengundi di semua kawasan dalam DUN berkenaan, manakala baki tempoh kempen akan digunakan untuk mengadakan ceramah secara bersasar.
Katanya, penerangan mengenai tawaran manifesto BN turut diberikan kepada pengundi terutama golongan warga emas.
“Golongan peniaga khususnya menyambut baik apabila cukai pintu tidak akan dinaikkan dalam tempoh lima tahun selain penjaja kecil boleh berniaga tanpa sebarang masalah seperti mana pernah diperkenalkan kerajaan BN dahulu.
“Kita juga sudah menyerahkan buku tawaran manifesto BN yang dicetak dalam tiga bahasa utama dan berharap pengundi dapat meneliti dengan baik sebelum keluar mengundi,” katanya.
Dalam pada itu beliau menetapkan empat komitmen untuk memastikan Bahau terus maju dengan menarik pelaburan, memperkasa perniagaan, majukan sektor pelancongan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan.