PH gesa siasatan menyeluruh kerugian RM12.6 bilion Tabung Haji

Iklan
PH gesa siasatan menyeluruh dilakukan susulan enam penemuan utama dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan Lembaga Tabung Haji antara tahun 2014 hingga 2020. Foto hiasan

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menggesa siasatan menyeluruh dilakukan susulan enam penemuan utama dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH) antara tahun 2014 hingga 2020.

Ketua Sekretariat Jabatan Pilihan Raya PH, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, laporan berkenaan merumuskan bahawa Tabung Haji mengalami kerugian mencecah RM12.6 bilion, selain berdepan isu pelaburan bermasalah, pematuhan perakaunan dan campur tangan politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerugian tersebut perlu disiasat kerana melibatkan amanah kira-kira sembilan juta pendeposit yang meletakkan kepercayaan kepada institusi berkenaan.

“Kerugian berbilion ringgit ini mesti disiasat kerana ia adalah amanah besar sembilan juta penabung yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Saifuddin berkata, antara penemuan utama RCI adalah kedudukan kewangan Tabung Haji yang berada pada tahap kritikal apabila institusi itu didakwa sepatutnya merekodkan kerugian RM1.4 bilion pada 2017 sekiranya piawaian perakaunan dipatuhi sepenuhnya.

Katanya, jumlah tersebut berbeza dengan keuntungan RM3.4 bilion yang diumumkan pada tahun berkenaan, manakala kerugian kemudiannya meningkat sehingga kira-kira RM10 bilion.

Iklan

Menurut beliau, laporan itu turut mendapati hibah diagihkan tanpa mengambil kira rosot nilai pelaburan dan kejatuhan nilai aset, sekali gus menyebabkan keuntungan yang diumumkan tidak mencerminkan kedudukan sebenar.

“RCI juga menerima dapatan bahawa rosot nilai melibatkan pelaburan, anak syarikat, instrumen pendapatan tetap dan hartanah tidak direkodkan sepenuhnya seperti yang dikehendaki piawaian perakaunan,” katanya.

Tambahnya, turut dikenal pasti ialah jurang defisit antara aset dan liabiliti yang dipercayai telah berlaku sejak 2014 apabila aset Tabung Haji tidak lagi mencukupi untuk menampung liabiliti kepada pendeposit.

Saifuddin berkata, RCI turut membangkitkan isu campur tangan politik menerusi pelantikan ahli politik sebagai pengerusi dan ahli lembaga yang menjejaskan persepsi terhadap tadbir urus institusi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan

RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi

RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas

Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH

Selain itu, beberapa pelaburan strategik termasuk pegangan dalam FGV dan aset lain didakwa mengalami kejatuhan nilai ketara sehingga memberikan kesan besar kepada kedudukan kewangan Tabung Haji.

“Wang pendeposit tidak wajar digunakan untuk membayar elaun dan bonus yang tinggi, tujuan bergaya, kepentingan politik atau pelaburan yang dibuat sewenang-wenangnya tanpa memberikan pulangan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat bukti salah laku, tindakan pendakwaan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang supaya pihak bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan usaha pemulihan bagi mengembalikan keyakinan pendeposit serta memastikan hak mereka terus dilindungi.

ARTIKEL BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan

RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535

RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa

RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

Saifuddin turut mendakwa pengurusan Tabung Haji kini berada dalam kedudukan lebih selamat apabila 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan, selain aset kembali melebihi liabiliti dan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus diberikan bagi tahun 2025.

“Ahli politik juga tidak lagi boleh terlibat dalam Tabung Haji dan semua anak syarikatnya,” katanya.

Justeru, PH menyeru kerajaan memperkukuh tadbir urus serta memperkemas mekanisme pengawasan bebas bagi memastikan kelemahan yang sama tidak berulang.

“Usaha keras pendeposit yang majoritinya terdiri daripada umat Islam dan masyarakat Melayu merupakan amanah yang tidak boleh dipermainkan,” katanya.