PRN Negeri Sembilan: 318 pegawai, anggota Polis Johor bantu hari mengundi

Iklan
Ab Rahaman ketika berucap pada majlis pelepasan petugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Seramai 318 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor akan membantu kelancaran hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ia melibatkan 290 anggota tugas am dan 28 anggota trafik yang mula bergerak ke Negeri Sembilan hari ini.

Iklan
Iklan

“Polis Johor membantu kontinjen Negeri Sembilan hari ini dan dijangka tamat dua hari selepas hari mengundi,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan petugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas turut berada dalam keadaan bersedia untuk diatur gerak bila-bila masa jika diperlukan.

Iklan

“Semua yang bertugas diingatkan agar mematuhi setiap arahan pegawai pemerintah, mengekalkan sikap neutral dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Meskipun berbeza kontinjen dan formasi, kita tetap bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat iaitu memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan terkawal,” ujarnya.

Iklan

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada polis Johor susulan kejayaan mengendalikan PRN Johor ke-16 yang berlangsung tenteram dan terkawal.

"Semasa PRN Johor, pihak polis menerima 130 laporan dan membuka 27 kertas siasatan.

“Ia melibatkan 20 kes khianat bahan kempen di bawah Seksyen 426, 427 dan 435 Kanun Keseksaan, empat kes di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, serta masing-masing satu kes bagi fitnah (Seksyen 500 Kanun Keseksaan), menerbitkan berita palsu (Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan) dan Akta Hasutan 1948," katanya.