KUALA LUMPUR - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik keputusan Kerajaan untuk mendedahkan dan menerbitkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, langkah itu mencerminkan komitmen terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Selain itu katanya, ia memenuhi hak masyarakat khususnya para pendeposit untuk memperoleh penjelasan yang menyeluruh berhubung pengurusan sebuah institusi amanah umat Islam di Malaysia.
"TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan tetapi institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara.
"Selama lebih enam dekad, TH memainkan peranan penting dalam membantu umat Islam menyimpan secara teratur bagi menunaikan ibadah haji serta menguruskan operasi jemaah Malaysia dengan cekap.
"Keupayaan tersebut telah menjadikan TH antara model pengurusan simpanan dan haji yang dihormati serta dirujuk di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan
RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik
Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH
RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan
RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535
RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa
RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH
IKIM berpandangan bahawa laporan RCI hendaklah dilihat sebagai ruang untuk mengambil iktibar, mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh pembaharuan institusi, bukannya dijadikan bahan polemik atau penghukuman awal terhadap mana-mana pihak.
Ujar Mohamed Azam, setiap dapatan dan syor perlu diteliti secara menyeluruh dan berasaskan fakta.
"Dari perspektif Islam, pengurusan simpanan pendeposit ialah amanah besar yang mesti berteraskan prinsip hifz al-mal, keadilan, ketelusan dan integriti.
"Pelaksanaan syor RCI hendaklah mengutamakan kepentingan pendeposit, pematuhan Syariah, pengurusan risiko berhemah serta kemampanan TH," jelasnya.
IKIM menyeru semua pihak memberi ruang kepada kerajaan dan TH melaksanakan penambahbaikan secara teratur agar institusi ini kekal diyakini dan menjadi kebanggaan negara. - Bernama