USAHAWAN merupakan antara nadi utama pembangunan sesebuah negara, bukan sahaja sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, malah turut membantu mewujudkan peluang pekerjaan.
Justeru, golongan usahawan khususnya bumiputera diseru supaya terus meneroka peluang perniagaan berimpak tinggi bagi meningkatkan daya saing, memperluaskan pasaran serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih mampan.
Selaras tema ‘Memperkasa Usahawan Bumiputera, Memacu Ekonomi Masa Hadapan’, program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Seremban baru-baru ini ternyata memberi pelbagai manfaat kepada golongan itu.
Program berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam menyediakan sokongan menyeluruh kepada usahawan bumiputera melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembiayaan dan pembangunan perniagaan.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkongsi hasrat kerajaan terus memperkasa usahawan Bumiputera, telah memberi suntikan semangat kepada golongan itu untuk terus melangkah ke hadapan.
Menurut Ahmad Zahid, golongan usahawan disifatkan sebagai antara watak penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
“Golongan usahawan juga yang mencipta peluang pekerjaan baharu dan yang akan menentukan masa depan pembangunan negeri ini lebih cemerlang.
“Saya sentiasa percaya apabila setiap kedai yang dibuka, setiap produk yang dihasilkan, setiap pekerja yang diambil serta setiap pasaran baharu yang ditembusi pastinya memberi kesan langsung kepada kekuatan ekonomi sesebuah negeri khususnya Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa program tersebut menjadi ruang kepada para usahawan untuk membina rangkaian, bertukar pandangan serta meneroka peluang perniagaan baharu.
Selain itu katanya, usahawan perlu berani melangkah lebih jauh dan menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform Gate to Global di bawah Mara.
“Namun bagi memastikan perniagaan itu terus bertahan dan berkembang merupakan cabaran yang jauh lebih besar.
“Ini kerana sekitar 80 peratus perniagaan baharu gagal bertahan dalam tempoh lima tahun pertama kerana kekangan modal dan kelemahan pengurusan terutama dalam aspek kewangan,” katanya.
Ahmad Zahid turut memberi dorongan kepada usahawan supaya tidak hanya memfokuskan pengeluaran produk yang banyak terdapat di pasaran.
Ujarnya, mereka perlu memikirkan peluang untuk menghasilkan produk atau komponen yang mempunyai nilai tambah serta mampu menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri.
“Bayangkan sesebuah perusahaan biasa yang menghasilkan skru atau komponen logam mampu menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan sebuah kilang besar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejak tahun 2016, lebih 12,000 usahawan dari Negeri Sembilan telah menerima bimbingan dan sokongan daripada Mara membabitkan komitmen pembiayaan melebihi RM428 juta.
Bagi tahun ini pula katanya, 127 usahawan telah menerima pembiayaan melebihi RM16 juta.
Justeru, beliau berharap kerajaan Negeri Sembilan yang baharu dapat mengamalkan dasar mesra perniagaan yang bukan sahaja membantu usahawan bumiputera berjaya dalam pasaran domestik, malah menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya mahu melihat dalam tempoh lima tahun lagi, lebih ramai usahawan Negeri Sembilan berubah.
“Daripada perniagaan kecil kepada pengilang, daripada jenama biasa kepada jenama yang dikenali di peringkat dunia. Saya percaya dengan adanya tunjuk ajar yang betul, lebih ramai usahawan mampu menjadi jutawan,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agensi itu terus memainkan peranan sebagai peneraju pembangunan keusahawanan bumiputera sejak penubuhan RIDA pada 1951.
Jelas beliau, pelbagai kemudahan pembiayaan, latihan, bimbingan serta pembangunan perniagaan yang dilaksanakan telah melahirkan ramai usahawan berjaya, termasuk dalam kalangan usahawan yang berkembang daripada perusahaan kecil kepada syarikat berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Inisiatif ini sekali gus menyumbang peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat serta memperluaskan penyertaan bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya.
Sementara itu, usahawan Negeri Sembilan menyambut baik penganjuran program terbabit yang bukan sahaja menjadi platform menimba ilmu, malah membuka peluang untuk memperluaskan jaringan perniagaan serta meneroka bantuan yang disediakan agensi berkenaan.
Usahawan dari Kuala Pilah, Faizah Baharudin, 57, berkata, penyertaannya buat kali pertama dalam program berkenaan telah mendedahkannya dengan pelbagai kemudahan yang ditawarkan Mara kepada usahawan.
Menurutnya, selain mendapat inspirasi daripada usahawan yang berjaya, beliau turut memperoleh maklumat berkaitan pembiayaan, latihan dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan.
“Saya baru memulakan perniagaan eko percetakan tahun ini, manakala perniagaan nurseri sudah memasuki tahun kedua.
“Saya melihat banyak peluang yang ditawarkan oleh Mara yang ada di antaranya yang saya sendiri tak pernah tahu,” katanya.
Sementara itu, pengusaha bengkel dari Nilai, Siti Hasmah Mohd Zan, 43, berkata, program seumpama itu sentiasa ditunggu-tunggu.
Katanya, meskipun telah lama menceburi bidang perniagaan, namun beliau berpendapat masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Ada perkara kita tidak tahu dan boleh dipelajari daripada usahawan berjaya, termasuk bagaimana mereka kembangkan perniagaan.
“Selain menambah ilmu, program seperti ini juga membuka peluang untuk membina jaringan perniagaan,” katanya.
Bagi pengusaha produk makanan salai, Nurul Admiena Norrizan, 42, pula, program itu menjadi medium terbaik memperkenalkan syarikatnya.
Beliau yang telah mengusahakan produk salai sejak 12 tahun lalu berkata, jaringan yang dibina bersama Mara dan agensi berkaitan telah memberi peluang kepada usahawan kecil untuk melangkah lebih jauh.
“Bagi saya, kita jangan sia-siakan peluang yang disediakan Mara kerana sebagai usahawan kita perlu mempunyai jaringan yang baik dengan agensi kerajaan.
“Alhamdulillah, hasil bantuan Mara perniagaan saya semakin berkembang dan produk kami juga telah memperoleh pensijilan halal pada tahun lalu dan kini telah dipasarkan ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.