RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 20 sen

Iklan
Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.40 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.82 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.62 seliter, berkuat kuasa mulai Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu, menyaksikan harga minyak mentah Brent meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam minggu, iaitu AS$96 setong.

"Risiko terhadap laluan perdagangan utama, termasuk Selat Hormuz dan Laut Merah, turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

Iklan

"Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, MoF memaklumkan simpanan kecemasan petroleum beberapa ekonomi utama dilaporkan semakin menyusut susulan konflik yang tercetus di Asia Barat pada 28 Februari 2026.

Iklan

"Sekiranya gangguan bekalan berterusan, keperluan negara-negara tersebut untuk mengisi semula stok simpanan masing-masing berpotensi menambah tekanan terhadap harga petroleum dalam jangka sederhana.

"Kerajaan Madani bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin dan bekalan bahan api negara kekal mencukupi manakala subsidi bersasar terus tersedia," katanya.

Kementerian itu memberitahu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

"Rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing," katanya.