PKNS perkukuh ekosistem keusahawanan menerusi KUP 2026

Iklan
Md Kamarzan (tiga kanan) bergambar bersama produk Anas di Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini.

Md Kamarzan (tiga kanan) bergambar bersama produk Anas di Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini.

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan Bumiputera menerusi penganjuran Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2026 yang menjadi platform latihan praktikal bagi membolehkan peserta mengaplikasikan ilmu keusahawanan serta merasai pengalaman menjalankan perniagaan dalam suasana pasaran sebenar.

Iklan
Iklan

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai di Kompleks PKNS Shah Alam itu menghimpunkan usahawan muda daripada empat program pembangunan usahawan kendalian PKNS iaitu Program Tunas Niaga (PROTUNe), Program Usahawan Siswazah (GROW), Program Usahawan Siswazah Lanjutan (GROW PLUS) dan Program Eksklusif BIZCLUB.

Sebanyak 122 reruai jualan disediakan bagi memberi peluang kepada peserta memasarkan produk, berinteraksi dengan pelanggan serta menguji strategi perniagaan secara langsung.

Iklan

Majlis perasmian karnival itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik) PKNS, Ir. Md Kamarzan Md Rais, diiringi Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof.

Menurut Md Kamarzan, pembangunan usahawan yang mampan memerlukan keseimbangan antara pembelajaran teori dan pengalaman praktikal bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan.

Iklan

Md Kamarzan melawat gerai usahawan di Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini.

"Keusahawanan bukan sekadar dipelajari di dalam bilik kuliah atau melalui pembacaan, tetapi perlu dipraktikkan dalam situasi sebenar.

"Karnival ini memberi peluang kepada peserta mengurus perniagaan, memahami kehendak pelanggan serta menyesuaikan strategi jualan mengikut keperluan pasaran. Pengalaman inilah yang membentuk usahawan lebih berdaya tahan, yakin dan kompetitif," katanya.

Beliau berkata, penganjuran KUP 2026 merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PKNS dalam memperkasa pembangunan usahawan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Katanya, selain meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan, program itu memberi peluang kepada peserta mengendalikan perniagaan secara langsung sekali gus membantu membina keyakinan, memperkukuh daya saing serta meningkatkan kebolehpasaran produk dan perkhidmatan mereka.

Sebagai pembaharuan tahun ini, semua peserta turut mengikuti Modul Pengurusan Penyertaan Ekspo Berstrategik yang diperkenalkan bagi meningkatkan keberkesanan penyertaan usahawan dalam ekspo dan karnival jualan.

Modul tersebut memberi penekanan kepada aspek penetapan objektif penyertaan, mengenal pasti sasaran pelanggan, strategi komunikasi, persembahan produk, pengurusan interaksi pelanggan serta penilaian keberkesanan penyertaan bagi membantu usahawan memanfaatkan setiap peluang perniagaan secara lebih strategik.

Selain jualan, karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Pavilion Bahagian Pembangunan Usahawan, Kaunseling Perniagaan 360, pertandingan dan demonstrasi usahawan, ruang santai Coffee & Chill, promosi Happy Hour, 50 cabutan bertuah serta Bonanza dan Grand Bonanza kepada pengunjung.

Pelbagai segmen perniagaan turut diketengahkan merangkumi makanan dan minuman, pakaian, produk kecantikan dan kesihatan, perkhidmatan serta pelbagai produk keluaran usahawan tempatan.

Sementara itu, sehingga tamat program, jumlah jualan keseluruhan yang berjaya direkodkan adalah sebanyak RM667,317 melibatkan penyertaan usahawan daripada empat program pembangunan usahawan PKNS.

Program GROW PLUS merekodkan jualan tertinggi sebanyak RM312,218.30, diikuti GROW dengan RM253,172.10, PROTUNe sebanyak RM56,976.20 dan BIZCLUB sebanyak RM44,950.

Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan oleh PKNS dalam membangunkan usahawan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi realiti pasaran sebenar.

Penganjuran KUP 2026 mencerminkan komitmen berterusan PKNS dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pendekatan yang praktikal, inklusif dan berimpak tinggi.

Inisiatif itu diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, inovatif dan kompetitif sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Selangor serta pembangunan negara.

Md Kamarzan berharap KUP 2026 dapat menjadi medan kepada para usahawan untuk menilai kekuatan produk, menyesuaikan strategi pemasaran mengikut keperluan pengguna serta membina keyakinan bagi meneroka pasaran yang lebih luas pada masa hadapan.