RXZ Members 8.0: 'Jalan raya bukan digunakan untuk lempiaskan nafsu' - JSPT

Iklan
Muhammad Hasbullah dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR -"Semua pengunjung diingatkan bahawa jalan raya ini bukan digunakan untuk melempiaskan nafsu,".

Itu tegas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali dengan memberi peringatan kepada pengunjung program RXZ Members 8.0 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jalan raya usah digunakan sesuka hati sehingga menyebabkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain jadi mangsa keadaan.

"Program ini (RXZ Members 8.0) kita nampak adalah satu program yang bagus. Merapatkan ukhuwah, berkumpul dalam satu tempat.

Iklan

"Kita sarankan pada pihak penganjur ada juga penglibatan polis dalam program mereka supaya pihak polis boleh sampaikan kepada semua pengunjung-pengunjung bahawa jalan raya ini bukan digunakan untuk lempiaskan nafsu," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pengunjung program permotoran itu juga diingatkan supaya tidak mempamerkan aksi-aksi berbahaya di jalanan.

Iklan

"Jangan gunakan jalan raya sebagai tempat untuk kita tunjuk 'terror', untuk kita beritahu kepada orang ramai, kitalah superman. Ini adalah benda-benda yang sangat-sangat tidak bagus," ujarnya.

Tegas Muhammed Hasbullah, pihaknya akan mengambil tindakan merakam terhadap mereka yang menunggang secara berbahaya, aksi melulu dan pelbagai pelanggaran lalu lintas lain.

Jelasnya, terdapat anggota dan pegawai yang akan mengambil rakaman bagi memantau konvoi terbabit sebelum penelitian dibuat bagi tindakan lanjut.

“Memang itu pendekatan yang hendak kita buat. Rakaman tersebut akan dijadikan bahan bukti bagi membolehkan polis mengambil tindakan terhadap peserta yang didapati melanggar undang-undang lalu lintas.

“Jangan terkejut jika selepas ini anggota polis datang ke rumah anda untuk mengambil tindakan berdasarkan rakaman yang diperoleh,” ujarnya.

Katanya lagi, pendekatan yang lebih agresif akan diambil pada tahun seterusnya sekiranya lebih banyak mudarat lebih banyak berlaku berbanding manfaat pada program terbabit.

"Bukan kita hendak menghalang majlis, tetapi kita hendak elakkan daripada pengguna jalan raya yang lain jadi mangsa. Ini yang kita bimbangi," ujarnya.

Terdahulu, di Terengganu, penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali, mengumumkan perubahan slogan 'Yang Kental Pasti Sampai' kepada 'Yang Santai Pasti Sampai', sebagai usaha memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang program berlangsung.

Katanya, perubahan slogan itu bukan sekadar pembaharuan, sebaliknya membawa mesej jelas kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya tunggangan berhemah ketika dalam perjalanan ke lokasi program.