75 peratus syor RCI selesai dilaksana - Tabung Haji

Iklan
Kabinet bersetuju untuk mengklasifikasikan semula dan mendedahkan laporan RCI mengenai TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) telah melaksanakan 75 peratus daripada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu yang berlaku sebelum tahun 2018 bagi memperkukuh tadbir urus dan kesejahteraan institusi itu.

TH dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, baki syor kini dalam proses pelaksanaan dan pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.

Iklan
Iklan

"Di samping itu, TH berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang selama tiga tahun berturut-turut selain kekal komited untuk melindungi kepentingan pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan, Kabinet bersetuju untuk mengklasifikasikan semula (declassify) dan mendedahkan laporan RCI mengenai TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Iklan

Menteri Komunikasi itu menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas Jemaah Menteri diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi institusi itu.

Malah menurutnya, laporan berkenaan juga akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Iklan

RCI mengenai Tabung Haji ditubuhkan pada 15 Julai 2021 bagi menyiasat isu-isu berkaitan pengurusan institusi itu sepanjang tempoh 2014 hingga 2020, termasuk aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan keputusan-keputusan yang memberi kesan kepada kedudukan kewangannya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, laporan RCI tidak didedahkan lebih awal kerana kerajaan mahu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap TH ketika institusi itu sedang melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula.