MAIDAM lancar logo baharu zakat perniagaan

Iklan
Ahmad Azrin (kiri) bersama Mohd Azmi (tengah) dan Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan logo baharu zakat perniagaan MAIDAM yang dilancarkan sempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 yang berlangsung Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA di Kuala Nerus pada Rabu.

KUALA NERUS - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melancarkan logo baharu zakat perniagaan sempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 yang berlangsung di sini, pada Rabu.

​Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pengenalan logo zakat perniagaan MAIDAM sebagai simbol pengiktirafan rasmi kepada syarikat dan perniagaan yang telah menunaikan zakat perniagaan melalui institusi itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, zakat bukan sekadar suatu kewajipan malah merupakan instrumen penting dalam memperkukuh ekonomi ummah, menyucikan harta serta menjamin kesejahteraan golongan yang memerlukan.

​"Logo ini bukan sekadar identiti visual, malah melambangkan amanah, integriti, tanggungjawab sosial serta komitmen sektor korporat dalam memperkasa pembangunan ekonomi ummah melalui institusi zakat.

Iklan

​"Semoga pengenalan logo ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat dan usahawan untuk bersama-sama membudayakan amalan berzakat serta memperkukuhkan ekosistem zakat di Terengganu," katanya.

Seramai 500 peserta Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 merakam gambar kenanga bersama pengurusan tertinggi MAIDAM dan kerajaan Terengganu sempena majlis perasmian penutup program yang diadakan pada Rabu.

Iklan

​Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham dan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Zulkifli Ali.

​Mengulas mengenai konvensyen penganjuran tahun ini, beliau berkata, acara berkenaan membawa tema amat signifikan iaitu 'Wawasan Baharu Kewangan Sosial Islam: Transformasi Baitulmal, Memperkasa Agenda Fardu Kifayah'.

​Jelas beliau, tema tersebut bukan sekadar slogan, sebaliknya satu seruan untuk melakukan anjakan paradigma terhadap peranan institusi baitulmal.

​"Hari ini, baitulmal tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai institusi yang mengurus kutipan dan agihan bantuan. Sebaliknya, baitulmal perlu terus ditransformasikan sebagai pemangkin pembangunan ummah melalui pengukuhan agenda pendidikan, kesihatan, penyelidikan, pembangunan modal insan, keusahawanan, teknologi, inovasi dan pelbagai bidang fardu kifayah yang menjadi asas kepada kemajuan umat Islam.

​"Transformasi ini menuntut tadbir urus yang lebih cekap, pendigitalan perkhidmatan, penggunaan data dalam membuat keputusan, kerjasama strategik merentas agensi serta pengukuran impak yang lebih berkesan agar setiap ringgit yang diamanahkan benar-benar memberi manfaat maksimum kepada masyarakat," ulasnya.

​Dalam ucapan sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Azmi kerana hadir menyempurnakan majlis penutup berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan institusi kewangan Islam.

Selain itu, ​beliau turut merakam penghargaan kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kerajaan Negeri Terengganu, semua Majlis Agama Islam Negeri, para pembentang, moderator, ahli panel, peserta dan jawatankuasa pelaksana atas kejayaan penganjuran konvensyen itu.

​"Marilah kita bersama-sama menjadikan tema konvensyen ini sebagai iltizam bersama untuk terus memartabatkan institusi baitulmal sebagai institusi yang diyakini, berintegriti, berinovasi dan sentiasa menjadi harapan umat," ujarnya.