ISTANBUL - Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat (AS) melarang penggunaan robot humanoid buatan China dengan alasan teknologi itu menimbulkan 'risiko yang tidak boleh diterima' terhadap keselamatan negara AS, lapor Anadolu Ajansi.
Keputusan itu mencerminkan usaha lebih meluas pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengehadkan kehadiran teknologi China dalam pasaran Amerika.
Menurut kenyataan FCC, larangan itu meliputi 'peranti robotik canggih buatan asing', iaitu kategori yang merangkumi robot humanoid serta robot berkaki empat yang diinspirasikan daripada haiwan.
Pegawai FCC berkata,"Peranti robotik canggih mengumpulkan data yang boleh dieksploitasi oleh pihak berniat jahat untuk mengintip rakyat Amerika, meningkatkan keupayaan agensi perisikan asing atau mengawal robot dari jauh," sambil menegaskan kebimbangan terhadap potensi pengawasan, pengintipan dan kawalan jarak jauh.
Selain robot humanoid, FCC turut melarang penyongsang kuasa bersambung, yang digunakan untuk menghubungkan sistem tenaga boleh baharu dan bateri kepada grid elektrik infrastruktur pusat data.
Sekatan baharu itu mencerminkan usaha pentadbiran Trump untuk memperkukuh teknologi keluaran domestik di samping menggalakkan syarikat memindahkan operasi pembuatan mereka ke AS.
Minggu lalu, FCC meluluskan secara prinsip satu cadangan untuk melarang import dron gred ketenteraan buatan asing tertentu, yang dilaporkan menyasarkan produk keluaran China.
FCC turut melarang import peralatan tambahan daripada beberapa pengeluar China, dengan larangan itu berkuat kuasa pada 16 Julai. - Bernama/Anadolu