KUALA LUMPUR - Seorang bekas petugas Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan menerima suapan berhubung urusan permohonan lesen perniagaan di MPS, lima tahun lepas.
Muhammad Darwisy Abdullah, 32, yang semasa itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di MPS didakwa memperoleh RM1,000 daripada seorang lelaki melalui akaun banknya sebagai dorongan memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan sebuah restoran.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Bhd Jalan Maarof, di sini pada 12 Mac 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Zolazrai Zolkapli bagaimanapun merayu jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya kali pertama dihadapkan ke mahkamah serta menanggung ibu bapa dan tiga anak.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 1 Sept untuk sebutan semula kes. - Bernama