Wanita maut tersepit dalam kemalangan tiga kenderaan

Iklan
Mangsa maut di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta. Foto Bomba

TASEK GELUGOR – Seorang wanita berusia 60 tahun maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan Padang Menora di sini, pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.26 pagi itu, mangsa, Zuraini Jaafar yang memandu sebuah Perodua Kancil disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan daripada kenderaannya oleh anggota bomba.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.

“Insiden membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, Perodua Axia dan Proton Saga dengan tiga mangsa terlibat.

Iklan

“Dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan, namun seorang daripadanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kereta Axia yang dipandu seorang lelaki warga emas terbalik dalam kejadian pada pagi Rabu. Foto Bomba

Iklan

Menurutnya, kerja-kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.13 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas menggunakan ambulans KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu seorang lelaki berusia 69 tahun yang memandu Perodua Axia mengalami kecederaan ringan manakala pemandu Proton Saga, wanita berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.19 pagi.