Bila otak bukan di kepala tetapi letak di lutut!

Iklan
Motosikal yang diubah suai secara ekstrem mengundang isu keselamatan di jalan raya. Gambar hiasan

SETIAP kali membaca berita kemalangan melibatkan kumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya, timbul satu persoalan di kepala Merak Jalanan, apa sebenarnya bermain dalam kepala otak mereka?

Jalan raya bukan litar perlumbaan. Lebih-lebih lagi bukan pentas sarkas untuk mempamerkan aksi 'wheelie', 'superman', zig-zag mencelah kenderaan atau berlumba sesama sendiri dengan jarak yang terlalu rapat.

Iklan
Iklan

Lebih menghairankan Merak Jalanan ialah budaya memodifikasi motosikal secara melampau. Ekzos yang memekakkan telinga, tayar kecil, lengan ayun dipanjangkan, lampu belakang diubah suai sesuka hati, brek dibuang, nombor pendaftaran tiada, malah ada yang sanggup membuang cermin sisi kerana dianggap tidak bergaya.

Sikap suka merempit seperti ini bukan soal keberanian. Ia soal kebodohan dalam membuat keputusan. Bagi Merak Jalanan, mereka bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri, malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain. Bila berlaku kemalangan, orang lain terlibat sama.

Iklan

Tidak salah meminati motosikal. Tidak salah mengubah suai motosikal selagi mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan. Yang menjadi salah apabila bunyi ekzos dianggap lebih penting daripada keselamatan, apabila aksi di jalan raya dijadikan ukuran kejantanan dan apabila melanggar undang-undang dianggap satu kebanggaan!

Masyarakat tidak memandang serong kepada penunggang motosikal tetapi masyarakat memandang serong kepada mereka yang menjadikan jalan raya sebagai gelanggang menunjukkan keangkuhan.

Iklan

Sebab itu ada orang berkata, mat rempit ini bukan tidak ada otak tapi otak mereka letak di lutut!