PEMAIN boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel selepas meraih perak di Glasgow 2026 pada Selasa.
Pada aksi penentuan pingat emas di Scottish Event Campus di sini, Izzat Shameer tewas 2-0 kepada jaguh England, Sam Tolchard tetapi kejayaan mara ke final sudah cukup untuk mencatat sejarah baharu buat negara.
Izzat Shameer mengatasi pencapaian terbaik Malaysia dalam acara berkenaan yang dilakukan Fairul Izwan Abdul Muin yang menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi Birmingham 2022.
Fairul Izwan kini menjadi ketua jurulatih skuad boling padang kebangsaan.
Terdahulu, Malaysia turut merangkul perak acara pairs wanita menerusi gandingan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman yang terpaksa akur tewas di tangan pasangan Amy Pharaoh-Sian Honnor dari England.
Kem boling padang negara setakat ini mengumpul dua pingat perak, dengan cabaran seterusnya antara lain akan digalas pemain nombor satu dunia Emma Firyana Saroji yang memulakan saingan perseorangan wanita hari ini. - Bernama