Van Dijk beri amaran keras

Iklan
Van Dijk mahu rakan sepasukan segera memperbaiki kelemahan benteng pertahanan.Foto : AFP.

KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk memberi amaran keras kepada rakan sepasukannya supaya segera memperbaiki kelemahan benteng pertahanan selepas The Reds tewas 2-3 kepada Fenerbahce dalam aksi Liga Juara-Juara di Istanbul pada Khamis.

Van Dijk menyifatkan prestasi pertahanan Liverpool ketika ini sebagai sesuatu yang tidak boleh dibiarkan berterusan terutama selepas pasukannya sekali lagi gagal mempertahankan kelebihan jaringan sehingga membawa kepada kekalahan mengecewakan.

Iklan
Iklan

Pemain pertahanan dari Belanda itu mengakui kecewa dengan cara pasukannya dibolosi, khususnya apabila ketiga-tiga gol Fenerbahce berpunca daripada situasi bola mati yang memperlihatkan kelemahan dari segi tumpuan dan disiplin pertahanan.

"Ia sememangnya tidak boleh berterusan. Ini malam yang sangat mengecewakan atas pelbagai sebab, terutama gol yang kami bolos dan bagaimana ia berlaku.

Iklan

"Ada banyak perkara perlu diperbaiki. Tiga gol daripada situasi bola mati. Kami sebenarnya cukup bagus dalam aspek itu sepanjang musim ini, tetapi kali ini kami hilang tumpuan dan tidak bersedia menghadapi bola pertama serta kedua," katanya.

Van Dijk mengakui kekalahan itu sukar diterima, namun menegaskan Liverpool perlu segera bangkit dan menjadikan pengalaman pahit berkenaan sebagai pengajaran untuk memperkukuh persefahaman dalam pasukan.

Iklan

Lebih membimbangkan, kekalahan kepada Fenerbahce itu menyaksikan Liverpool mencipta rekod buruk apabila menjadi kali pertama dalam sejarah kelab berkenaan melepaskan sekurang-kurangnya tiga gol dalam tiga aksi utama pertandingan Eropah secara berturut-turut.

Skuad kendalian Andoni Iraola itu turut bergelut di pentas Eropah musim ini apabila sudah melepaskan 10 gol dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara berbanding lima gol sepanjang kempen 2024-25.